By REGIONAL OFFICE MPC
•
April 10, 2025
Bengkel ini telah dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis selaku penyelaras utama Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) di negeri ini. Pada tahun ini, sebanyak 15 projek RKB telah didaftarkan dan sedang dilaksanakan oleh agensi kerajaan, bahagian serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Perlis. Matlamat utama bengkel ini adalah untuk memberikan bimbingan kepada ahli kumpulan projek RKB berkenaan tatakelola pelaksanaan projek yang berkesan, bermula dengan analisis masalah termasuk pemetaan proses semasa dan pengumpulan data. Pendekatan ini bertujuan mengenal pasti punca-punca yang menyumbang kepada ketidakcekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam dalam agensi, bahagian dan PBT terlibat. Selain itu, peserta turut didedahkan kepada platform digital dan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang ditawarkan oleh MPC melalui inisiatif GovTech, bagi mempercepat proses penyediaan laporan projek. Seramai 20 peserta mewakili 10 agensi dan PBT Negeri Perlis telah menyertai bengkel ini. Bengkel bimbingan seterusnya dijadualkan pada bulan Mei, yang akan memfokuskan kepada sesi pembentangan hasil pengumpulan data serta pembangunan pelan tindakan penambahbaikan oleh setiap kumpulan projek.