14 November 2024
KUCHING: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak dengan kerjasama Tourism Productivity Nexus (TPN) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pensijilan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) dan Pelan Tindakan Pelancongan Lestari: Memacu Produktiviti, Kecemerlangan dan Kelestarian dalam Industri Pelancongan di Kompleks MPC Sarawak, baru-baru ini.
Bengkel itu dihadiri 50 peserta dari kalangan penggiat industri pelancongan, antaranya Business Event Venues (BEV), Business Event Company (BEC), Product/Site Operators (PSO), dan kakitangan kemampanan dan alam sekitar dari seluruh Kuching.
Bengkel bertujuan meningkatkan kualiti dan piawaian industri pelancongan melalui inisiatif Pensijilan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) serta membangunkan strategi kesediaan industri untuk mengamalkan pelancongan lestari.
Pengarah MPC Sarawak Dr Mazlina Shafi’i dalam ucapannya menekankan kepentingan program itu dalam memperkukuhkan daya saing industri pelancongan Sarawak.
“Pelaksanaan program seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan piawaian industri pelancongan tetapi juga memberi laluan ke arah pemuliharaan alam sekitar yang mampan.
“Sarawak sebagai destinasi pelancongan terkenal memerlukan usaha kolektif dan komitmen tinggi semua pihak untuk mencapai kemampanan ini.
“MaTEx dan strategi pelancongan lestari yang dirangka akan menjadi panduan dan dorongan kepada semua pihak untuk terus melangkah ke hadapan dengan amalan-amalan terbaik yang selaras dengan kehendak global,” katanya.
Tambah beliau, “Melalui bengkel ini, kami berharap dapat membina strategi bersama pengiat industri pelancongan di Sarawak yang mampu membawa kepada perubahan positif tetapi beraspirasi untuk menjadi peneraju kecemerlangan dan kelestarian.
“Ini adalah inisiatif kolektif untuk memastikan Sarawak kekal relevan dan kompetitif sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat global.”
Program Pensijilan MaTEx yang diperkenalkan itu diharap mampu membantu industri pelancongan Sarawak meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk sekali gus memenuhi jangkaan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, memperkasakan industri dengan strategi pelancongan mampan yang bakal meletakkan Sarawak sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka yang komited dalam menjaga kelestarian alam sekitar selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
MPC berharap agar semua pemain industri pelancongan dapat berperanan secara aktif dalam memacu perubahan positif ke arah pelancongan yang produktif, cemerlang dan mampan sekali gus membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Hadir sama pada program itu ialah Champion TPN Rohizam Md Yusof yang berperanan memimpin usaha mempromosikan amalan pelancongan lestari, memperkukuh kerjasama pihak kerajaan dan industri dalam memacu transformasi digital industri pelancongan.
Sumber: www.utusanborneo.com.my
Video 1: https://www.nama.com.my/video/tvclip/MPC0/20241114_T60_TV1-0500PM_16.MP4
Video 2: https://www.nama.com.my/video/tvclip/MPC0/20241114_T60_TVI-0630PM_8.MP4