RUU Iltizam Meningkatkan Produktiviti Dan Kecekapan Perniagaan

27 Mac 2025, Kuala Lumpur – Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) menyambut baik dan menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (RUU ILTIZAM), yang dijangka memberi lonjakan besar kepada produktiviti dan kecekapan sektor swasta serta perniagaan di Malaysia.


RUU ILTIZAM telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 6 Mac 2025 dan Dewan Negara pada 25 Mac 2025. Ia menekankan usaha penambahbaikan terhadap keberkesanan, kecekapan dan kualiti perkhidmatan kerajaan melalui pengurangan kerenah birokrasi dan beban kawal selia, pengukuhan tadbir urus, serta penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh, telus dan inovatif.


Sebagai platform kerjasama awam-swasta yang memacu penambahbaikan persekitaran perniagaan negara, PEMUDAH merupakan antara pihak terawal yang dilibatkan dalam pembangunan RUU ILTIZAM, khususnya dalam memberi idea dan input strategik.


Mandat PEMUDAH selari dengan matlamat utama RUU ini, iaitu untuk memperkukuh keberkesanan dasar dan peraturan berkaitan perniagaan, merasionalisasi proses dan prosedur, serta menambah baik instrumen kawal selia demi mempertingkat daya saing, produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.


Salah satu anjakan utama di bawah RUU ILTIZAM ialah komitmen untuk mengurangkan beban kawal selia sebanyak 25% dalam tempoh tiga tahun. Langkah ini diyakini mampu mempercepatkan proses kelulusan permit dan lesen, mengurangkan dokumentasi yang tidak perlu, serta menjana penjimatan kos operasi dan kos pematuhan bagi industri.


Pelaksanaan RUU ILTIZAM bakal memacu reformasi birokrasi secara menyeluruh, meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam, dan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih mesra, cekap dan responsif. Usaha ini dijangka memberi manfaat besar kepada komuniti peniaga dalam memperlancar urusan perniagaan harian mereka.


Dari sudut tadbir urus, PEMUDAH yakin bahawa penekanan terhadap prinsip akauntabiliti, integriti dan ketelusan dalam RUU ini akan memperkukuh keyakinan pelabur dan peniaga serta mewujudkan persekitaran perniagaan yang bebas daripada amalan rasuah.

Pengerusi Bersama PEMUDAH, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, menyatakan keyakinannya bahawa RUU ILTIZAM bakal membuka dimensi baharu dalam landskap perniagaan negara.


“Dengan adanya RUU ILTIZAM, sektor swasta akan menikmati manfaat ketara termasuk pengurangan beban kawal selia dan birokrasi, yang akhirnya akan meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan pertumbuhan perniagaan.”


“Penekanan terhadap pendigitalan dan automasi di bawah RUU ini turut akan mengurangkan tempoh menunggu dan mempermudah urusan pelesenan. Ini bukan sahaja memberi kelebihan kepada syarikat besar, malah memberi impak positif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).”


“Perniagaan sering berurusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memulakan dan mengembangkan perniagaan. Maka, mekanisme penarafan prestasi PBT yang komprehensif dijangka akan mendorong peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan yang memberi manfaat langsung kepada peniaga.”


“PEMUDAH komited untuk terus menyokong dan memastikan pelaksanaan RUU ini berjalan lancar. Saya yakin langkah mengurangkan kos pematuhan dan mempercepatkan proses kelulusan bukan sahaja memudahkan urusan sedia ada, tetapi juga mengundang lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan serta memantapkan ekosistem perniagaan di Malaysia.”


PEMUDAH, yang diurusetiakan secara bersama oleh Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), turut optimis bahawa sinergi yang diwujudkan menerusi pelaksanaan RUU ILTIZAM akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam laporan antarabangsa antaranya Business Ready (B-READY) oleh Bank Dunia, World Competitiveness Ranking (WCR) oleh Institute for Management Development (IMD), serta Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International.



Akhir sekali, PEMUDAH menyeru seluruh komuniti perniagaan, institusi kewangan, badan profesional serta masyarakat umum untuk bersama-sama menyokong dan mengalu-alukan pelaksanaan RUU ILTIZAM demi pertumbuhan produktiviti, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.


Tamat.


Untuk Pertanyaan Media:

media@mpc.gov.my