7 Mac 2025, Kuala Lumpur – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, telah merasmikan pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 yang dinantikan pemain industri. Anugerah ini merupakan inisiatif daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk menggalakkan inovasi serta memperkukuh kedudukan industri tempatan agar dapat bersaing di peringkat global.
AKI 2026 bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada syarikat-syarikat yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang, termasuk amalan pengurusan yang cemerlang, kualiti produk dan perkhidmatan, serta keupayaan dalam memberikan nilai yang lebih tinggi kepada pemegang taruh. Penilaian untuk anugerah ini akan menggunakan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF) sebagai kriteria utama dalam pemilihan pemenang.
Menurut Zahid Ismail, Ketua Pengarah, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), "MBEF adalah pendekatan yang menyeluruh dan sistematik dalam menilai kecemerlangan sesebuah organisasi. Dengan menggabungkan pelbagai elemen penting yang membentuk kejayaan sesebuah syarikat, MBEF menilai secara holistik prestasi dan daya saing syarikat dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar."
Tambah beliau, “Penggunaan Rangka Kerja MBEF dalam AKI 2026 akan membolehkan panel penilai mengenalpasti syarikat-syarikat yang bukan sahaja cemerlang dalam satu aspek, tetapi juga mampu bersaing dan berkembang dalam pelbagai dimensi perniagaan. Pendekatan ini akan memberi platform untuk syarikat terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.”
Pelaksanaan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan ini memberi panduan komprehensif kepada syarikat, terutama dalam aspek peningkatan prestasi perniagaan dan pengukuhan kedudukan syarikat dalam pasaran. Syarikat yang menggunapakai MBEF lebih responsif terhadap perubahan dalam persekitaran pasaran, termasuk perubahan permintaan pengguna, teknologi terkini, dan dinamika ekonomi global. Selain itu, rangka kerja ini juga menggalakkan syarikat untuk menjadi lebih inovatif serta bertanggungjawab terhadap aspek sosial serta kelestarian alam sekitar, sekaligus meningkatkan daya saing dan kelangsungan jangka panjang mereka.
Bagi syarikat yang memerlukan maklumat lanjut mengenai Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), boleh menghubungi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my