JPA Terajui Lonjakan Transformasi Perkhidmatan Awam
PUTRAJAYA, 26 Mac 2025 – Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (RUU ILTIZAM) telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 6 Mac 2025 dan Dewan Negara pada 25 Mac 2025. Kelulusan ini menandakan satu landasan baharu dalam usaha pembaharuan struktur dan operasi sektor awam, demi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertindak sebagai peneraju utama dalam merangka, menyelaras dan merealisasikan pelaksanaan RUU ILTIZAM, dengan sokongan erat daripada agensi kerajaan lain serta Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). RUU ini menzahirkan pendekatan menyeluruh dan strategik yang merentasi sektor dan agensi, bagi memperkukuh sistem pentadbiran dan kawal selia kerajaan.
RUU ILTIZAM: MERINTIS PERKHIDMATAN AWAM YANG CEKAP, TELUS DAN DINAMIK
RUU ILTIZAM digubal bagi menangani birokrasi berlebihan, memansuhkan prosedur lapuk dan menyusun semula proses kawal selia yang telah membebankan rakyat serta komuniti perniagaan. Ia memberi tumpuan kepada:
· Peningkatan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan;
· Pengurangan kos urus niaga dan masa yang hilang akibat proses yang tidak produktif;
· Pengukuhan tadbir urus berteraskan integriti dan ketelusan; dan
· Memacu pertumbuhan ekonomi melalui ekosistem yang mesra perniagaan dan responsif.
Usaha ini akan menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan yang lebih pantas, mesra pengguna, dan mudah diakses, serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi menjayakan aspirasi Malaysia MADANI.
JPA KOMITED LAKSANA RUU ILTIZAM SECARA BERKESAN DAN INKLUSIF
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertindak sebagai peneraju utama dalam merangka, menyelaras dan merealisasikan pelaksanaan RUU ILTIZAM, dengan sokongan erat daripada Kementerian Ekonomi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan agensi-agensi kerajaan yang lain. RUU ini menzahirkan pendekatan menyeluruh dan strategik yang merentasi sektor dan agensi, bagi memperkukuh sistem pentadbiran dan kawal selia kerajaan.
RUU ILTIZAM bukan sekadar pindaan dasar – ia adalah lambang perubahan budaya kerja dan nilai dalam sektor awam, demi mencipta impak jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my