22 Jan 2025
DALAM era digitalisasi yang semakin berkembang, Malaysia Productivity Corporation (MPC) berperanan memperkenalkan pendekatan Digital Lean kepada syarikat-syarikat tempatan.
Pengarah Pengurusan Moden dan Teknologi, Saliza Saari berkata projek Digital Lean adalah hasil kerjasama antara MPC dan Vfive Group yang menunjukkan kejayaan besar dalam meningkatkan kecekapan operasi syarikat tersebut.
Projek Digital Lean yang diinspirasikan Saliza bertujuan untuk mengintegrasikan prinsip Lean dengan teknologi digital, membawa transformasi menyeluruh dalam pengurusan operasi.
Dengan bimbingan dan sokongan yang disediakan oleh MPC, Vfive Group berjaya mengurangkan masa operasi, kos, dan pembaziran dalam rantaian nilai mereka.
“Hasil pelaksanaan projek ini, setiap syarikat dapat membuat keputusan yang lebih pantas dan tepat, meningkatkan kualiti produk, serta memenuhi permintaan pelanggan dengan lebih efisien.
Saliza berkata projek digital lean ini mampu sebagai pemangkin dalam amalan pengurusan dalam daya saing negara di bawah sub indikator agility of company dan data analytics.
Beliau berkata kejayaan projek itu didorong oleh kerjasama erat dengan pensyarah Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang yang bertindak sebagai perunding projek yang bertanggungjawab dalam pembangunan dashboard dan aplikasi digital untuk pengurusan inventori Vfive Group.
Katanya, dengan adanya dashboard ini, pihak Vfive Group dapat memantau inventori secara masa nyata, mengoptimumkan pengurusan stok, dan mengelakkan pembaziran, malah aplikasi digital ini juga memudahkan proses pengesanan dan pengurusan inventori, yang sebelum ini dilakukan secara manual.
“Kami sangat berbangga dengan pencapaian Vfive Group melalui projek Digital Lean ini, malah kejayaan ini membuktikan bahawa pendekatan digital yang strategik mampu membawa perubahan positif yang signifikan kepada prestasi operasi dan daya saing syarikat,” ujar Saliza Saari.
Beliau berkata projek Digital Lean oleh MPC bersama Vfive Group menjadi contoh cemerlang bagaimana transformasi digital dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam industri.
“Kejayaan ini juga diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada syarikat-syarikat lain untuk meneroka potensi digitalisasi dalam meningkatkan operasi mereka,” katanya.
Sementara itu Norhayati berkata pembinaan dashboard dan aplikasi ini adalah hasil daripada pemahaman mendalam tentang keperluan operasi Vfive Group.
“Kami berusaha untuk memastikan setiap ciri dalam dashboard dan aplikasi ini mampu memberikan kemudahan maksimum kepada pengguna, serta mempercepatkan proses pengurusan inventori,” katanya.
Beliau berkata keberhasilan projek itu juga mencerminkan kecekapan MPC dalam menganjurkan dan membimbing syarikat-syarikat tempatan ke arah digitalisasi.
MPC berusaha menyediakan pelbagai program latihan dan bimbingan untuk memastikan syarikat-syarikat seperti Vfive Group dapat memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya.
Sumber: Refleks