8 Ogos 2024, Johor - Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) dan agensi teknikal antaranya Perancangan Bandar dan Desa Negeri Johor, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memulakan inisiatif penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pemprosesan permit pembinaan. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam pemprosesan dokumen, mengurangkan kesilapan dan memastikan kepatuhan kepada peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Pelaksanaan inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan mempercepatkan pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan asing.
Majlis Perbandaran Kulai (MPKU) menyahut cabaran ini dengan komitmen yang tinggi setelah sebelum ini berjaya menarik pelaburan yang signifikan melalui pelaksanaan Kulai Fast Lane (KFL). KFL telah membuktikan keberkesanan dalam mempercepatkan proses kelulusan permit pembinaan dan memberikan keyakinan kepada pelabur dengan ketelusan dan kecekapan perkhidmatannya. Dengan pelaksanaan inisiatif AI, MPKU mampu meneruskan kecemerlangan ini dengan meningkatkan lagi kecekapan pemprosesan permit, membolehkan proses yang lebih pantas dan tepat.
Dengan penggunaan AI, proses pemprosesan permit dapat dipercepatkan, membolehkan pihak berkuasa tempatan memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan pantas kepada pemohon. Inisiatif ini dijangka memberikan impak positif kepada pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri Johor, terutamanya dalam konteks JS-SEZ. Pengurangan masa pemprosesan dan peningkatan ketepatan dalam pemprosesan permit akan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, mempercepatkan pembangunan infrastruktur, dan secara tidak langsung meningkatkan peluang pekerjaan serta ekonomi setempat.
Kejayaan MPKU dalam melaksanakan KFL menjadi asas yang kukuh untuk memperluaskan penggunaan teknologi AI, menyokong aspirasi JS-SEZ untuk menjadi hab pelaburan dan pembangunan ekonomi. MPC komited untuk terus memperkenalkan inovasi dan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan di pelbagai sektor, menjadikan industri pembinaan di Malaysia lebih berdaya saing dan inovatif.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my