JBPM dan MPC Perkasa Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk Meningkatkan Kecekapan Proses Permohonan Permit Pembinaan

19 September 2024, Johor – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memperkenalkan inisiatif baharu menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) dalam memproses permohonan permit pembinaan terutamanya bagi kelulusan Pelan Bangunan dan Pelan Perpasangan Keselamatan Kebakaran.


Seiring dengan saranan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi memperkasa teknologi AI dalam penyampaian perkhidmatan awam, JBPM telah menyahut seruan dengan memulakan pelaksanaan inisiatif ini di Negeri Johor. Penggunaan AI dapat meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam proses penilaian risiko kebakaran bagi setiap permohonan permit pembinaan dengan mengurangkan keperluan kepada penilaian secara manual, sekaligus memastikan pematuhan kepada peraturan dan garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan.

 

Menurut Pengarah MPC Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh, "Penggunaan teknologi AI mampu meningkatkan kecekapan dan ketepatan dalam pemprosesan dokumen, mengurangkan kesilapan dan memastikan kepatuhan kepada peraturan dan garis panduan yang ditetapkan. Pelaksanaan inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada usaha bagi menyokong Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan mempercepatkan pembangunan ekonomi dan menarik pelaburan asing”.

 

Inisiatif ini dijangka memberikan impak positif kepada pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri Johor. Pengurangan masa pemprosesan dan peningkatan ketepatan dalam pemprosesan kelulusan akan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini, mempercepatkan pembangunan infrastruktur, dan secara tidak langsung meningkatkan peluang pekerjaan serta ekonomi setempat. MPC dan JBPM yakin inisiatif ini akan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: