7 Ogos 2024, Melaka – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kerajaan Negeri Johor melalui inisiatif Kumpulan Kerja (WG) Land Matters Johor Singapore - Special Economic Zone (JS-SEZ) telah menganjurkan satu program khusus bagi mempertingkatkan kecekapan berkaitan pengurusan tanah Negeri Johor termasuklah proses Serah Balik Kurnia Semula (SBKS).
Program ini bertujuan untuk meneliti keperluan proses kerja yang telah ditambahbaik bagi pembangunan sistem digital pengurusan tanah negeri Johor. Melalui digitalisasi, urusan ini dijangka menjadi lebih cekap dan produktif, sekaligus menyokong matlamat JS-SEZ dalam memacu pertumbuhan ekonomi wilayah ini.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam menyokong pembangunan ekonomi dan meningkatkan daya saing Johor dalam menarik pelaburan asing. Dengan peningkatan produktiviti dan kecekapan urusan permit pembinaan, proses pelaburan dan pembangunan infrastruktur dapat dipercepatkan. Ini sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan.
Penyertaan daripada pegawai dari Pejabat Tanah Galian, Unit ICT dan pejabat tanah yang berkaitan menunjukkan komitmen padu ke arah mencapai objektif tersebut. Pegawai-pegawai ini didedahkan dengan teknologi terkini dan amalan terbaik dalam pengurusan tanah yang akan membantu mereka dalam menjalankan tugas dengan lebih efisien.
Mohd Azwan Mohd Salleh, Pengarah MPC Wilayah Selatan dalam ucapan aluannya menekankan bahawa digitalisasi adalah kunci kepada transformasi perkhidmatan awam yang lebih responsif dan mesra pengguna. Beliau juga mengingatkan bahawa kerjasama antara Johor dan Singapura dalam inisiatif JS-SEZ adalah penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.
Dengan pelaksanaan digitalisasi urusan tanah, Johor bersedia untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih dinamik dan progresif. Program ini diharap dapat menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi digital.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my