Kecekapan Urusan Pengambilan Tanah Diperkasakan untuk Memacu Pelaburan dan Ekonomi Melaka

Melaka, 14 Ogos 2024 – Dalam usaha memperkukuh ekonomi negara dan menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Melaka telah menganjurkan satu program khas untuk meningkatkan kecekapan dalam urusan pengambilan tanah bagi Pembangunan Industri di Melaka. Penglibatan pelbagai agensi kerajaan di Melaka antaranya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam program ini membuktikan komitmen semua pihak untuk melaksanakan transformasi ini.

 

Program ini bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian bagi meningkatkan kecekapan urusan pengambilan tanah, yang sering kali menjadi cabaran utama dalam melaksanakan projek pembangunan industri dan infrastruktur. Di bawah proses semasa, urusan pengambilan tanah melibatkan pelbagai peringkat seperti semakan dokumen, rundingan, pertimbangan oleh Jawatankuasa, serta pewartaan dan pembayaran pampasan.

 

Cadangan penambahbaikan yang dibincangkan termasuklah mempercepatkan proses semakan dokumen, mengurangkan tempoh masa untuk rundingan dan kelulusan oleh Jawatankuasa dalam pengurusan permohonan dan dokumentasi. Penambahbaikan ini dijangka akan memendekkan tempoh keseluruhan proses pengambilan tanah, seterusnya menghasilkan impak signifikan terhadap pembangunan ekonomi Melaka.

 

Proses pengambilan tanah yang lebih efisien akan mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan, terutamanya dalam sektor perindustrian dan komersial. Ini bermakna lebih banyak projek akan dapat dilaksanakan dalam tempoh yang lebih singkat, seterusnya meningkatkan aliran pelaburan ke negeri Melaka. Dengan pelaksanaan projek yang lebih cepat, ia juga akan mempercepatkan penciptaan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan untuk rakyat Malaysia.

 

Lebih penting lagi, kecekapan dalam urusan pengambilan tanah ini akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Melaka sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan mesra perniagaan. Pelabur antarabangsa mencari destinasi yang mampu menawarkan kestabilan, kepantasan, dan kepastian dalam urusan pengambilan tanah serta pelaksanaan projek. Dengan ini, Melaka berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), yang seterusnya akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

Menurut Mohd Azwan Mohd Salleh, Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan, "Kecekapan dalam urusan pengambilan tanah bukan sahaja penting untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam dan pengawal selia, tetapi juga amat kritikal dalam memudahkan urusan pelabur dan peniaga. Apabila proses ini berjalan dengan lancar, ia menyumbang kepada peningkatan hasil pihak berkuasa tempatan, keuntungan kepada syarikat dan pelabur, serta manfaat yang besar kepada masyarakat setempat. Ini akan mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih kondusif dan seterusnya mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara."

 

Datuk Anis Ali Hasan, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian (Pembangunan) Melaka, dalam ucapan penutup beliau, menekankan bahawa transformasi dalam proses pengambilan tanah adalah langkah proaktif oleh kerajaan negeri untuk menggalakkan pelaburan dan memastikan Melaka terus maju sebagai hab industri yang dinamik.

 

Sebagai langkah seterusnya, MPC dengan kerjasama agensi-agensi pengawal selia akan melaksanakan projek rintis untuk menilai keberkesanan cadangan penambahbaikan ini. Melalui projek ini, keberkesanan dalam mencapai sasaran tempoh baharu akan diuji, dan penilaian akan dilakukan untuk memastikan setiap langkah penambahbaikan dapat diimplementasikan dengan jayanya.

 

Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: