24 Julai 2024, Kota Kinabalu – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sabah dengan kerjasama Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah melaksanakan salah satu inisiatif Amalan Baik Peraturan (Good Regulatory Practice – GRP) iaitu meningkatkan kecekapan proses permohonan Permit Short-Term Accommodation (STA) di Sabah. Pelaksanaan inisiatif ini adalah selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025) untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah. Ia juga sejajar dengan Teras Strategik: Melestarikan Sektor Pelancongan dan Pemboleh Daya Ketiga Pelan Pembangunan SMJ iaitu Kecekapan dan Keberkesanan Penyampaian Perkhidmatan.
Garis Panduan STA ini penting untuk memberi panduan mengenai kaedah dan tatacara permohonan kebenaran pengoperasian STA di kawasan bandar dan luar bandar dan serta memastikan premis diperakukan selamat untuk diduduki dan dilesenkan.
Inisiatif ini telah dijalankan sejak tahun 2023 melalui libat urus dengan pihak berkepentingan diadakan bagi mendapatkan input dan maklum balas mengenai draf Garis Panduan tersebut. Inisiatif ini diteruskan lagi pada tahun 2024 dengan penganjuran bengkel iaitu Bengkel Pemurnian Draf Garis Panduan Permohonan Dan Kelulusan Permit Pengoperasian Short-Term Accommodation (STA) Di Sabah yang bertujuan untuk memurnikan Draf Garis Panduan Permohonan Dan Kelulusan Permit Pengoperasian Short-Term Accommodation (STA) Di Sabah yang diadakan pada 22 – 24 Julai 2024.
Bengkel ini telah dihadiri oleh pegawai daripada pelbagai Kementerian/ Jabatan/ Agensi yang terdiri daripada Sekretariat GRP, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Malaysia (PLANMalaysia), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC HQ), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Sabah (MOTAC Sabah), Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Jabatan Peguam Negeri Sabah, Jabatan Tanah Ukur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dan Institute For Development Studies (Sabah).
Yang Berbahagia TPr. Stanley Chong, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) menyatakan bahawa pindaan Local Government Ordinance 1961 dan Hotels & Lodging Houses by Laws akan dilakukan bagi memastikan peraturan yang digubal adalah relevan dengan keadaan semasa. Beliau juga berharap agar Garis Panduan STA ini dapat disiapkan pada tahun ini agar boleh dijadikan panduan oleh pengusaha-pengusaha beroperasi dengan mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Garis Panduan STA ini agar premis STA di Sabah mempunyai lesen dan selamat untuk didiami.
Yang Berusaha En. Edward Binty, Pengarah MPC Wilayah Sabah berharap Kerajaan Negeri Sabah dapat membangunkan Garis Panduan STA yang berkonsepkan “Mesra Pelancongan” di mana ia bukan sahaja dapat mewujudkan peluang perniagaan baharu, menyokong industri pelancongan, meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Negeri, malah secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam indikator “Tourism Receipts” yang kini di kedudukan ke-40 dalam kalangan 67 negara dalam World Competitiveness Yearbook 2024.
MPC komited memacu produktiviti dan daya saing ke arah sasaran pertumbuhan 3.7% produktiviti negara di dalam RMKe-12, melalui pelbagai misi peningkatan produktiviti seperti memperkasakan bakat, mempercepatkan penerimagunaan teknologi, dan mereformasi peraturan.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my