Kolaborasi antara Industri dan Institusi TVET Mengurangkan Jurang Permintaan dan Penawaran Pasaran Buruh

2 September 2024, Pulau Pinang – Dalam usaha memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan meningkatkan daya saing global Malaysia, isu kekurangan tenaga kerja berkemahiran yang dihadapi oleh industri berkembang perlu diberi perhatian serius. Menurut Laporan Bank Dunia mengenai Kemahiran dan Tenaga Kerja di Malaysia, hampir 40% hingga 60% syarikat di negara ini melaporkan kesukaran mengisi jawatan berkemahiran tinggi, terutamanya dalam sektor teknologi maklumat, pembuatan, dan perkhidmatan profesional. Ini mencerminkan jurang yang ketara antara kemahiran yang dimiliki oleh pekerja dan keperluan industri.

 

Meskipun Malaysia mempunyai lebih daripada 1,300 institusi TVET, masalah kekurangan tenaga kerja mahir masih berterusan di peringkat industri. Terdapat jurang besar dalam memenuhi permintaan dan penawaran dalam pasaran buruh. Salah satu punca utama adalah kurangnya maklumat dan komunikasi antara industri dan institusi TVET, di mana industri tidak mengetahui institusi mana yang menyediakan bakat yang diperlukan, dan institusi TVET pula tidak mengetahui industri mana yang memerlukan kemahiran yang mereka tawarkan. Keadaan ini menyebabkan kesukaran bagi industri mendapatkan pekerja tempatan berkemahiran, serta menyulitkan institusi TVET menyediakan tempat latihan industri yang sesuai bagi graduan.

 

Justeru, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) melihat kolaborasi antara industri dan institut kemahiran sebagai langkah strategik untuk menyelaraskan isu permintaan dan penawaran dalam pasaran buruh. MPC dengan kerjasama UWC Berhad telah memulakan kolaborasi bersama institusi TVET di Wilayah Utara untuk melaksanakan projek rintis bagi mendapatkan 150 pekerja berkemahiran dalam tempoh yang singkat. Antara institusi yang terlibat termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Nibong Tebal, Seberang Perai, Jitra dan Ipoh, ADTEC Kulim, ADTEC Taiping, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, Sik dan Seberang Perai Utara, Institut Kemahiran Tinggi Perda (Perda-Tech), Kolej KEDA Sik, Kolej Kemahiran Tinggi MARA Balik Pulau, Kolej Vokasional Butterworth, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, dan Politeknik Seberang Perai.

Pengarah MPC Wilayah Utara, Mohamad Azrol Mohamad Dali menyatakan bahawa kolaborasi antara industri dan institusi TVET adalah tindakan utama yang dapat mengurangkan jurang antara permintaan dan penawaran dalam pasaran buruh. Ini termasuk dengan memperluaskan lagi program latihan industri, memperkenalkan lebih banyak kursus berasaskan industri, dan meningkatkan komunikasi antara pihak institusi dan industri. Dengan kerjasama yang kukuh, kedua-dua pihak dapat memastikan bahawa tenaga kerja yang berkemahiran dan relevan bagi industri tersedia apabila diperlukan. Kolaborasi ini juga membolehkan industri merancang keperluan sumber manusia dengan lebih bersasar dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

 

Selain itu, kolaborasi strategik ini juga membantu industri mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing apabila lebih banyak tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dapat disediakan. Bagi pihak institusi, mereka akan menjadi lebih relevan dan permintaan terhadap program yang ditawarkan akan meningkat apabila ia selaras dengan keperluan industri semasa.

 

Sebagai langkah ke hadapan, industri dan institusi TVET di Malaysia perlu sentiasa mengadakan kolaborasi agar berterusan mengurangkan jurang antara permintaan dan penawaran dalam pasaran buruh. Hasrat MPC dan Kerajaan secaranya keseluruhannya adalah untuk menyumbang kepada impak yang lebih besar terhadap prestasi daya saing Malaysia.

 

Tamat.
 

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: