Memacu Pertumbuhan Produktiviti Negeri Melalui Rangkaian Produktiviti Negeri dan Minggu Produktiviti

2 Julai 2024, Petaling Jaya – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah menganjurkan Minggu Produktiviti, bermula 24-26 Jun 2024 dengan objektif untuk meningkatkan produktiviti serantau iaitu bukan sahaja di peringkat nasional, sektoral dan firma tetapi juga memastikan pertumbuhan ekonomi secara inklusif merentas daerah dan negeri-negeri di Malaysia. Dengan menggunakan contoh model dari United Kingdom, Dr Philip McCan pakar ekonomi antarabangsa dari The Productivity Institute, United Kingdom telah dijemput untuk berkongsi amalan terbaik yang dijalankan di UK serta negara-negara lain di dunia bagi inisiatif pertumbuhan produktiviti secara menyeluruh.

 

Bertemakan Levelling Up Regional Productivity, program ini turut mendapat kerjasama dari agensi-agensi dan Unit Perancang Ekonomi Negeri serta 13 institusi pengajian tinggi, di antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di dalam usaha pemetaan inisiatif peningkatan produktiviti negeri masing-masing.

 

Sepuluh pelan inisiatif peningkatan produktiviti mewakili Wilayah Utara, Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Pantai Timur serta Sabah dan Sarawak telah dibentangkan di mana tumpuan adalah terhadap pemacu utama pertumbuhan produktiviti mampan iaitu pembangunan bakat masa hadapan yang kompeten dan berkemahiran, peningkatan penerimagunaan teknologi dan digitalisasi dan iklim perniagaan yang mesra pelabur dan peniaga. Pelan ini juga menggariskan isu dan cabaran yang dihadapi oleh setiap negeri di samping inisiatif sedia ada yang merupakan projek berimpak tinggi dan projek usahama kerajaan negeri dengan penglibatan industri.

 

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, menyatakan, “Inisiatif ini adalah langkah penting dalam usaha kita untuk meningkatkan produktiviti negara. Dengan kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan industri, kita dapat memastikan pertumbuhan produktiviti Malaysia yang inklusif dan mampan, iaitu sasaran antara 2.5 hingga 3.5 peratus pada tahun ini. Rangkaian Produktiviti Negeri diharapkan akan menjadi platfom bagi merapatkan jurang produktiviti di antara negeri di mana lapan negeri secara konsisten mencatatkan tahap produktiviti yang rendah dengan skor terendah ketinggalan jauh di belakang purata nasional sebanyak RM 96,692 pada tahun 2023”.

 

Menurut Dr.Philip Mccan, adalah penting untuk membina rangkaian kerjasama yang menggabungkan pakar dari Universiti, pembuat dasar dan pemain industri yang dapat berkongsi idea dan belajar antara satu sama lain ke arah merealisasikan agenda peningkatan produktiviti negara.

 

Langkah ke hadapan adalah untuk membangunkan tadbir urus secara horizontal di peringkat negeri yang berfungsi sebagai platform penggerak untuk menyokong sasaran peningkatan produktiviti negeri yang mampu mencipta peluang pekerjaan, menjana pendapatan lebih tinggi, dan merapatkan jurang produktiviti ke arah pertumbuhan produktiviti domestik yang inklusif dan seimbang.

 

Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: