Memperkasa Transformasi Kecemerlangan Organisasi Melalui Inisiatif Amalan Terbaik

9 September 2024, Kuching – MPC Sarawak komited memperkasa transformasi kecemerlangan organisasi melalui penganjuran Sesi Perkongsian Amalan Terbaik Kecemerlangan Perniagaan (BE) 2024 yang berlangsung pada hari ini di Dewan Produktiviti, MPC Sarawak. Sesi ini telah berjaya menghimpunkan 50 peserta daripada pelbagai sektor organisasi yang bermatlamat untuk mendalami serta berkongsi idea dan strategi yang berkesan dan boleh dijadikan tanda aras. Perkongsian amalan terbaik ini juga berpotensi menjadikan organisasi kekal relevan, kompetitif dan seterusnya lebih berprestasi tinggi dan berdaya saing.

 

Bertemakan "Transformasi Menuju Kecemerlangan Organisasi", sesi ini telah menampilkan barisan penceramah terdiri daripada pengurusan tertinggi organisasi yang berpengalaman dalam meningkatkan kecemerlangan organisasi masing-masing iaitu Tuan Haji Jefri Ahmad Tambi, Pengarah Urusan Senari Synergy Sdn Bhd, Encik Keng Ben Seng, Pengarah IMetal (M) Sdn Bhd dan Tuan Haji Mual Haji Suaud, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS). Kecemerlangan ini telah terbukti apabila Senari Synergy Sdn Bhd telah menerima Anugerah Emas Chief Minister’s Industry Excellence Awards (CMIEA) bagi tahun 2019 dan 2021. Manakala IMetal (M) Sdn Bhd merupakan pemenang keseluruhan Premier Sarawak Industry Excellence Award (PSIEA) 2023. Selain itu, JAIS merupakan Agensi Islam pertama di Sarawak yang memperoleh pengiktirafan pensijilan MBEF pada 2023.

 

Pengarah MPC Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i berkata “Sesi perkongsian pada hari ini merupakan satu langkah proaktif ke arah memastikan kecemerlangan organisasi terus dipertingkatkan ketahap maksima. Melalui perkongsian pengalaman dan amalan terbaik ini, kita dapat belajar daripada kejayaan dan juga cabaran yang dihadapi oleh rakan-rakan dalam organisasi. Ini adalah satu peluang yang amat bernilai, yang mana kita boleh mempertingkatkan kefahaman, menambah ilmu pengetahuan, dan memantapkan strategi pengurusan atau perniagaan di organisasi masing-masing”.

 

”Namun begitu, kita harus ingat bahawa amalan terbaik ini bukanlah sesuatu yang statik. Dalam dunia yang dinamik ini, apa yang dianggap sebagai amalan terbaik pada hari ini mungkin tidak lagi relevan pada masa hadapan. Oleh itu, adalah penting untuk kita sentiasa terbuka kepada idea-idea baharu, bersedia untuk melakukan penambahbaikan, dan sentiasa mencari jalan untuk berinovasi. Inilah semangat yang kita ingin terapkan dalam sesi perkongsian pada hari ini.”

 

Beliau menambah, “Justeru itu, saya juga ingin menggesa para usahawan dan organisasi di Sarawak untuk memulakan langkah menuju kecemerlangan perniagaan dengan mengadaptasi Malaysia Business Excellence Framework (MBEF), yang merupakan pendekatan praktikal dan holistik dalam mencapai kecemerlangan di semua aspek pengurusan organisasi yang berpaksikan kepada peningkatan produktiviti. Rangka kerja ini dapat membantu organisasi tanpa mengira saiz dalam menilai dan mengenal pasti jurang prestasi serta tindakan yang diperlukan untuk penambahbaikan yang berterusan.”

 

MPC Sarawak akan terus menerajui usaha mempromosikan kecemerlangan perniagaan di seluruh Sarawak, dengan harapan dapat mewujudkan lebih banyak organisasi yang cemerlang dan berdaya saing. Usaha ini diharapkan dapat menjadi pemangkin dalam menyebarluas konsep Kecemerlangan Perniagaan (BE) kepada organisasi lain di Sarawak, dan seterusnya menjadi sebahagian daripada komuniti Kecemerlangan Perniagaan.

 

Selain itu, MPC Sarawak juga turut melaksanakan program dan inisiatif berimpak tinggi  dengan objektif untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri bagi membangunkan bakat masa depan, penerapan teknologi dan digitalisasi serta meningkatkan penyampaian peraturan berkualiti bagi mendorong pertumbuhan produktiviti yang pesat.

 

Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: