Pembinaan Pantas Mampu Lonjakkan  Produktiviti Pahang

25 Jun 2024, Kuantan – Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Pahang telah melancarkan inisiatif pembinaan pantas dalam usaha meningkatkan produktiviti negeri Pahang. Satu bengkel khas telah dianjurkan untuk memperkukuh kemahiran agensi teknikal dalam memudahcara projek pembinaan hospital swasta di Temerloh.

 

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua MPT, Tuan Haji Suris Bin Mihat, yang menekankan kepentingan projek pembinaan pantas dan efisien sebagai tarikan utama pelabur. Dalam ucapannya, beliau menyatakan, “Projek pembinaan yang pantas dan efisien adalah kunci utama untuk menarik minat pelabur. Melalui inisiatif ini, MPT berharap untuk menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif di Pahang serta dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi terutama di Temerloh.”

 

Bengkel ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Agensi Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Agensi Teknikal Dalaman (ATD), Agensi Teknikal Luaran (ATL), pemaju, perunding, dan Principle Submitting Person (PSP/SP). Matlamat utama bengkel adalah untuk meningkatkan kefahaman agensi teknikal dan perunding dalam mematuhi peraturan pembangunan hospital serta menambah baik proses kelulusan permit pembinaan.

 

Pengarah Wilayah Pantai Timur (Pahang), Dr. Noor Aishah binti Hassan, menyatakan bahawa kerjasama antara MPT dan MPC merupakan bukti komitmen terhadap usaha peningkatan produktiviti melalui penambahbaikan berterusan. “Kerjasama strategik ini, bukan sahaja memastikan projek pembinaan di Temerloh dapat direalisasikan dengan pantas dan mematuhi peraturan tetapi ianya dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing Pahang,” ujar beliau. Projek seperti ini juga disasarkan untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti pekerja Pahang sebanyak 5.1% menjelang 2030, melepasi purata produktiviti Malaysia.

 

Dengan pelaksanaan projek rintis ini, MPT berharap dapat membuka jalan kepada pelaksanaan projek-projek pembinaan yang lebih cekap dan pantas di masa hadapan, sekaligus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai pusat pelaburan yang produktif dan berdaya saing.


Tamat.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my


Share by: