Pembinaan Pantas Mampu Tarik Pelaburan di Pahang

29 Julai 2024, Kuantan – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), baru-baru ini melancarkan inisiatif pembinaan pantas yang dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi Pahang. Bengkel hands-on yang melibatkan 36 peserta dari agensi teknikal, pemaju, dan perunding projek telah dilaksanakan untuk membincangkan projek rintis pembinaan kilang tayar di Kuantan. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti sektor pembinaan dan menarik pelaburan yang signifikan ke negeri Pahang.

 

Projek pembinaan kilang tayar dengan nilai pelaburan RM1.33 bilion ini dijangka akan mula beroperasi pada September 2025. Selain dari nilai pelaburan yang besar, projek ini dijangka akan menyediakan lebih 700 peluang pekerjaan, dengan 80% daripada jawatan tersebut akan disediakan untuk penduduk tempatan. Dengan pendekatan pembinaan pantas dan efisien yang diterapkan, projek ini diharapkan dapat menarik pelabur ke Kuantan dan menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelaburan yang lebih kompetitif.

 

Menurut Dr. Noor Aishah Hassan, Pengarah MPC Pahang, kolaborasi strategik antara MBK, agensi teknikal, pemaju, dan perunding projek adalah kunci kepada kejayaan projek ini. “Inisiatif ini tidak hanya mempercepatkan proses pembinaan dengan pematuhan peraturan yang tinggi, tetapi juga meningkatkan daya saing dan produktiviti ekonomi di Pahang,” katanya.

 

MBK berharap bahawa kejayaan projek ini akan membuka jalan untuk lebih banyak projek pembinaan yang cekap dan pantas pada masa depan, seterusnya memperkukuh kedudukan Pahang sebagai pusat pelaburan yang produktif dan berdaya saing.

 

Tamat.



 Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: