19 Ogos 2024, Kuching – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan sukacitanya ingin memaklumkan dan menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan yang telah dicapai oleh syarikat Senari Synergy Sdn Bhd baru-baru ini melalui penerimaan Anugerah Perniagaan Mampan dan Jenama BrandLaureate Fast Moving Growing Sustainable di bawah kategori Terminal Minyak dan Penapisan serta Anugerah Kepimpinan Jenama untuk Kecemerlangan Kepimpinan Korporat.
Anugerah The BrandLaureate Leadership adalah anugerah berprestij yang diberikan oleh The BrandLaureate, sebuah badan antarabangsa yang terkenal dengan pengiktirafan kecemerlangan dalam penjenamaan (branding). Anugerah ini mengiktiraf pemimpin yang telah menunjukkan kecemerlangan luar biasa dalam kepimpinan, inovasi, dan strategi yang memberi impak besar kepada organisasi dan industri.
Pengarah MPC Sarawak, Dr Mazlina Shafi’i berkata, "MPC amat berbangga dengan pencapaian ini dan ingin menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah serta penghargaan kepada Tuan Haji Jefri Ahmad Tambi, Pengarah Urusan merangkap Ahli Lembaga Pengarah MPC dan warga kerja Senari Synergy Sdn Bhd. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih dan kerja berpasukan yang luar biasa dari seluruh warga, serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakan-rakan strategik dan pihak-pihak berkepentingan serta membuktikan keupayaan industri di Sarawak untuk mencapai kecemerlangan organisasi ke tahap yang maksima.”
“Saya percaya bahawa kecemerlangan yang dicapai oleh Senari Synergy Sdn Bhd adalah titik tolak melalui penerapan amalan Business Excellence (BE) yang menjadi salah satu kerangka kerja yang komprehensif untuk meningkatkan daya saing, keberkesanan organisasi, dan pengurusan yang berkualiti. Penglibatan Senari Synergy Sdn Bhd dalam inisiatif BE secara langsung telah menyumbang kepada kejayaan mereka dalam mencapai pertumbuhan mampan, pengiktirafan industri, dan kelebihan daya saing dalam pasaran.”
Selari dengan rangkakerja dayasaing yang mengukur kecekapan perniagaan melalui ketangkasan organisasi, pelaksanaan inisiatif BE ini akan menjadi pemangkin untuk menyebar luas konsep BE kepada organisasi-organisasi di Sarawak seterusnya menjadi sebahagian dari komuniti BE. Inisiatif BE juga merupakan pendekatan praktikal dan holistik untuk mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pengurusan organisasi yang berpaksikan kepada peningkatan produktiviti organisasi yang berimpak tinggi.
Beliau menambah, “Selain itu, saya mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan mengenai penganjuran Premier of Sarawak Industry Excellence Awards (PSIEA) 2025 melalui kerjasama strategik Sarawak Business Federation (SBF). Saya ingin menggesa agar organisasi-organisasi di Sarawak untuk memulakan langkah kecemerlangan perniagaan dengan menyertai PSIEA 2025 dalam usaha kolektif kami untuk mewujudkan lebih banyak organisasi yang cemerlang dan berdayasaing dengan menggunapakai Malaysia Business Excellence Framework (MBEF).
“PSIEA mengiktiraf kecemerlangan organisasi melalui 7 kriteria utama iaitu Kepimpinan (Leadership), Perancangan (Strategy), Maklumat (Information), Pelanggan (Customers), Sumber Manusia (Workforce), Proses (Process) dan Hasil (Result). Anugerah ini diadakan setiap dua tahun sekali bermula pada tahun 2017 dan organisasi yang menyertai PSIEA 2025 berpeluang mewakili Sarawak ke peringkat nasional iaitu Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) yang ditadbir oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).”
Selaku badan yang bertanggungjawab memacu produktiviti negara, MPC akan terus giat dan komited melaksanakan pelbagai inisiatif di peringkat nasional, sektor dan perusahaan melalui strategi yang efisien. Inisiatif yang dilaksanakan ini diyakini dapat membantu Kerajaan Negeri bagi memudahkan persekitaran perniagaan serta menarik minat pelabur dalam membangunkan ekonomi Sarawak dan mempercepatkan pembangunan fizikal agar tahap produktiviti dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dipertingkatkan secara optima.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my