Sungai Petani, 1 Julai 2024 – MPC bekerjasama dengan pusat latihan Advanced Technology Training Center (ADTEC) Kulim dan Kedah Halal Park untuk membantu pelajar lepasan tahfiz memperoleh pekerjaan dan Sijil Kemahiran Malaysia. Program Akademi Dalam Industri (ADI) menyediakan laluan kerjaya yang berstruktur dan kompetitif kepada pelajar berkaitan. Melalui program ini, pelajar tahfiz tidak hanya tertumpu kepada bidang agama tetapi juga dapat menyumbang kepada ekonomi negara melalui pelbagai sektor pekerjaan.
Menurut Mohamad Azrol Mohamad Dali, Pengarah MPC Wilayah Utara, program ini penting untuk menghubungkan pelajar lepasan tahfiz dengan industri, memberi mereka peluang meningkatkan kemahiran dan memperoleh pendapatan yang stabil. Beliau yakin bahawa program ADI dapat membantu pelajar lepasan tahfiz meningkatkan produktiviti dan membuka peluang untuk kemajuan kerjaya yang lebih cerah.
Syarikat seperti Halagel, Al-Hadad Manufacturing, FAMAX Technology, dan Secret Barn yang memberi peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan tahfiz ini turut mendapat manfaat apabila pekerja yang diambil mempunyai rekod sahsiah baik, membantu organisasi menjadi lebih produktif dan berdaya saing. Pelajar yang berjaya dalam sesi temuduga menerima tawaran bekerja dan menjalani program meningkatkan produktiviti serta kemahiran melalui Sijil Kemahiran Tahap 3 dalam bidang Mekatronik atau Pemprosesan Makanan.
Program ADI ini adalah inisiatif berkonsepkan Place & Train, di mana pelajar diberi penempatan bekerja dan peluang meningkatkan kemahiran yang diperlukan industri. Kolaborasi MPC dan ADTEC membantu pelajar dan industri, terutama SME, melengkapkan latihan tanpa kos tambahan. Selain itu, usaha ini juga memastikan pelajar lepasan tahfiz dapat bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
MPC sentiasa mengalu-alukan kolaborasi strategik dalam memacu produktiviti dan daya saing negara. Dengan sokongan yang tepat, program ADI dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang beretika dan berinovasi, membantu Malaysia mencapai sasaran 35% pekerja mahir pada tahun 2023.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my