E10 2.0: Teknologi AI Pacu Produktiviti MPKK dan Penyampaian Perkhidmatan

23 September 2024, Kulim – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) terus menunjukkan komitmen terhadap peningkatan kecekapan operasi dan penyampaian perkhidmatan dengan pelancaran inisiatif E10 2.0, yang diperkuat dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) melalui penggunaan ChatGPT. Inovasi ini telah memendekkan tempoh kelulusan Kebenaran Merancang secara ketara, membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan produktiviti pegawai dan mempercepatkan perkhidmatan kepada pelanggan.


Sejak diperkenalkan pada 1 Julai 2024, teknologi AI dalam E10 2.0 telah membawa impak besar terhadap kecekapan kerja di MPKK. Proses penilaian Laporan Cadangan Pemajuan kini dapat dilaksanakan dalam masa 1 hari, berbanding tempoh asal selama 3 hari. Tambahan pula, proses kelulusan bagi permohonan Kebenaran Merancang yang lengkap dapat diselesaikan dalam hanya 5 hari, jauh lebih pantas daripada tempoh sebelumnya yang memerlukan 14 hingga 30 hari.


Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail, menekankan bahawa teknologi AI ini berperanan besar dalam meningkatkan produktiviti bukan sahaja dalam kalangan pegawai MPKK, tetapi juga agensi teknikal luar yang terlibat. “Melalui AI, kita mampu meningkatkan keupayaan agensi-agensi dalam menyokong syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa, mempercepatkan kelulusan supaya mereka boleh memulakan operasi lebih awal, seterusnya menyumbang kepada produktiviti keseluruhan sektor industri di kawasan ini,” katanya.


Yang Dipertua MPKK, Dato' Haji Elmi Bin Yusoff, turut menyatakan bahawa penerapan teknologi terkini adalah langkah penting ke arah memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan. “Kami komited untuk terus memanfaatkan teknologi AI seperti dalam E10 2.0 bagi memastikan proses kelulusan dan kerja berjalan dengan lebih cepat dan efisien, demi kebaikan masyarakat dan pemain industri,” ujarnya.


Inovasi ini bukan sahaja mempercepatkan proses kerja di MPKK, tetapi juga memperkukuhkan produktiviti agensi-agensi teknikal yang berkaitan. Perkhidmatan yang lebih cepat dan efisien kini dapat disampaikan kepada pemohon dan pihak berkepentingan, menjadikan MPKK lebih responsif terhadap keperluan perniagaan serta komuniti tempatan.

Dengan peningkatan kecekapan ini, MPKK dijangka terus memainkan peranan utama dalam mempercepatkan kelulusan projek pembangunan, seterusnya memberi impak positif kepada sektor perkhidmatan awam dan masyarakat di daerah Kulim.


Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: