9 Mei 2024, Petaling Jaya – Kohort pertama program pembelajaran kemahiran dalam pekerjaan di bawah inisiatif Akademi Dalam Industri bakal diraikan dalam majlis graduasi yang dijangka akan disempurnakan oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, pada 11 Mei 2024, bertempat di Dewan Perdana Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kejayaan hampir 100 orang peserta program tersebut menunjukkan kejayaan pelaksanaan program pembelajaran kemahiran di industri di bawah inisiatif Akademi Dalam Industri yang bermula pada tahun 2022. Peserta dijangka akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dan Tahap 3 setelah menjalani program selama 12 - 18 bulan.
Program yang dipacu Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sebuah agensi di bawah MITI ini, bertujuan membangunkan tenaga kerja masa hadapan yang berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri. Pada masa yang sama, program ini dijangka dapat merapatkan jurang antara bekalan buruh dan permintaan.
Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, percaya kemahiran akan memberi impak kepada peningkatan produktiviti dan kenaikan gaji pekerja. Justeru program pembangunan dan peningkatan kemahiran seperti Akademi Dalam Industri mempunyai potensi untuk merubah lanskap pasaran buruh negara, seterusnya melonjakkan pertumbuhan produktiviti dan daya saing di peringkat kebangsaan.
”Program ini berbeza dengan program latihan teknikal sedia ada. Melalui Akademi Dalam Industri, bakat bekerja, mendapat gaji, pengalaman kerja, dan peluang membangunkan kemahiran selama tempoh program. Modul program dibangunkan dengan kerjasama industri dan menjurus kepada kemahiran yang diperlukan oleh industri.”
”Pelaksanaan program secara meluas dengan lebih banyak penyertaan syarikat dan belia tempatan akan mengubah situasi pasaran buruh Negara ke arah bekalan tenaga kerja yang dipacu permintaan industri. Ini dapat menangani cabaran dalam ketidakpadanan kemahiran dan pengetahuan dengan permintaan oleh pihak majikan. Masalah underemployment terutamanya di kalangan graduan lepasan universiti turut dapat ditangani.”
“MPC berharap agar pelaksanaan program ini juga akan membuka ruang kepada pengiktirafan sewajarnya terhadap program latihan dan pembelajaran tidak formal, terutamanya latihan dan program yang dilaksanakan oleh industri.”
Menurut MPC lagi, pada peringkat awal perancangan program, kajian mendalam dilaksana bagi memastikan pelaksanaan intervensi yang mampu menyelesaikan isu dan cabaran utama dalam pasaran buruh Negara, yang memberi kesan terhadap pertumbuhan produktiviti.
Antaranya MPC melihat kepada kajian dan amalan terbaik antarabangsa. Kertas Kerja Produktiviti oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang diterbitkan pada Disember 2021 bertajuk “The Human Side of Productivity: Uncovering the Role of Skills and Diversity for Firm Productivity”, mengusulkan penggubalan dan pelaksanaan dasar yang meluas bagi pertumbuhan produktiviti berasaskan pembangunan modal insan yang berkesan. Laporan tersebut menekankan bahawa dasar pembangunan sumber manusia yang berkesan adalah berasaskan tiga aspek: Bekalan (Supply), Peningkatan (Upgrading), dan Pemadanan (Matching) dalam pembangunan tenaga kerja.
Maklumat lanjut mengenai inisiatif Akademi Dalam Industri boleh didapati dengan melayari laman sesawang https://www.aii.gov.my/.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my