Petaling Jaya, 11 Jun 2024 – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah secara rasmi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, dengan tujuan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing tenaga kerja dan industri Malaysia. Dokumen ini ditandatangani oleh Encik Zahid Ismail, Ketua Pengarah MPC, bersama Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli, Naib Canselor UniMAP, dan disaksikan oleh wakil-wakil utama dari kedua-dua organisasi.
MoU ini menggariskan beberapa bidang utama kerjasama, termasuk peningkatan bakat di mana kepakaran kedua-dua organisasi akan dimanfaatkan untuk melahirkan profesional berkemahiran yang mampu memenuhi keperluan tenaga kerja moden. Selain itu, MoU ini juga menekankan usaha untuk memperkasa ekosistem Elektronik dan Elektrik dengan memperkukuhkan infrastruktur dan keupayaan sektor E&E Malaysia bagi memacu pertumbuhan dan inovasi.
Encik Zahid Ismail, Ketua Pengarah MPC, menekankan kepentingan kerjasama ini dengan menyatakan, “MoU ini merupakan langkah penting ke arah membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan boleh menyesuaikan diri. Dengan menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak, kita dapat menangani keperluan mendesak industri dan memastikan tenaga kerja kita bersedia untuk cabaran masa depan.”
Kajian Nexus Produktiviti E&E mendapati UniMAP turut memperlihatkan keunggulan institusi tersebut dalam menyediakan modul pembelajarannya selari dengan keperluan industri semikonduktor terkini. Usaha UniMAP ini memperkukuhkan lanskap tenaga kerja Malaysia sejajar dengan kemahiran praktikal dan pengetahuan yang boleh digunakan secara langsung dalam industri.
Kerjasama strategik MPC dan UniMAP turut memfokuskan tenaga kerja tempatan berkemahiran menerusi inisiatif Akademi Dalam Industri dalam merealisasikan laluan baharu 'Work-based learning', yang bakal menawarkan peluang kepada pekerja Malaysia untuk diberi pengiktirafan diploma atau ijazah berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka di industri. Melalui inisiatif Akademi Dalam Industri ini juga, tenaga kerja berkemahiran akan dibangunkan sesuai dengan kehendak industri, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my