MPC Komited Memacu Peningkatan Produktiviti Industri Hidrogen di Sarawak Melalui Pemerkasaan Inisiatif Pembangunan Rangka Kerja Peraturan Hidrogen yang Komprehensif

24 Jun 2024, Kuching – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) melalui kolaborasi strategik telah menganjurkan Bengkel Pemetaan dan Pembangunan Rangka Kerja dan Profil Awal Industri Hidrogen bertempat di Hotel Pullman, Kuching. Objektif utama bengkel ini adalah untuk mendapatkan maklumbalas pemain industri mengenai kajian awal penyediaan rangka kerja peraturan dan garis panduan oleh pembuat dasar. Selain itu, pemain-pemain industri yang pernah terlibat dalam projek jalinan kerjasama strategik Negeri Sarawak bersama negara-negara pengguna tenaga hidrogen dan ammonia hijau turut dijemput menghadiri sesi ini.

Bengkel ini telah dimulakan dengan Ucapan Pembukaan yang telah disampaikan oleh YBrs. Dr Mazlina Shafi’i, Pengarah MPC Wilayah Sarawak dan telah diteruskan dengan pembentangan daripada pihak IsuRE UNIMAS. Turut hadir dalam bengkel ini adalah YBrs. Profesor Ts Dr. Shanti Faridah Salleh, Pengarah Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui (ISure), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Dr Mazlina Shafi’i dalam ucapannya berkata, “MPC komited dalam menyokong agenda kerajaan dalam membangunkan rangka kerja peraturan berdasarkan kepakaran dan pengalaman sedia ada bagi memperkasakan industri hidrogen melalui penetapan struktur tadbir urus oleh pihak berkuasa kawal selia bagi memantau dan menyediakan pengawasan terhadap industri yang dikawal selia serta menjamin ketelusan dalam industri yang menggalakkan pelaburan rangkaian yang cekap”.

“MPC turut berkolaborasi bersama Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui (ISuRE), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam Pembangunan Profil Awalan Industri Hidrogen sebagai langkah permulaan kepada Pembangunan Rangka Kerja Peraturan yang lebih komprehensif selaras dengan aspirasi negara melalui Hydrogen Economy and Technology Roadmap (HETR) dalam mewujudkan rangka kerja pengawalseliaan yang komprehensif untuk memudahkan pertumbuhan di sepanjang rantaian nilai mhidrogen dan bergerak ke arah pembangunan sosio- ekonomi rendah karbon untuk beberapa dekad akan datang.”


Beliau menambah, “Aspirasi MPC dalam menyediakan panduan bagi tadbir urus tenaga hidrogen ini akan melibatkan lebih banyak kerjasama jitu antara pihak kerajaan dan industri; sekaligus akan menggalakkan pelaburan dalam dan luar negara serta menambahbaik kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking (WCR) untuk Competitiveness Factor: Infrastructure (Energy Infrastructures Current Ranking: 20 dan Renewable Energies (%) Current Ranking: 53).”

Hidrogen merupakan tenaga boleh diperbaharui yang diteroka bagi menggantikan tenaga sedia ada untuk pelbagai aplikasi dalam sektor utama di Malaysia termasuk sektor logistik dan pengangkutan dan sektor-sektor intensif tenaga yang lain. Selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pengurusan hidrogen meliputi setiap aspek dalam rantaian nilai bermula dengan pengeluaran, penyimpanan, pengedaran dan pengaplikasian pengguna memerlukan peraturan perniagaan yang tangkas dan menggalakkan pertumbuhan industri ini; di samping mengekalkan perlindungan alam sekitar dan menjamin persekitaran sosial yang inklusif.

Tamat.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: