11 Mei 2024, Kuala Lumpur – Seramai 94 graduan dari kohort pertama Program Akademi Dalam Industri yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (Malaysia Productivity Corporation – MPC) telah melengkapkan pengajian mereka. Program ini dijangka bakal menyumbang kepada usaha memperkukuhkan saluran bakat mahir bagi memenuhi keperluan sektor industri di Malaysia secara sistematik dan berterusan. Bagi tahun 2024, sejumlah 28 kohort dijangka akan mendapat pensijilan di bawah program ini.
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri telah menyempurnakan majlis graduasi bagi 94 belia tempatan kohort pertama yang berjaya menamatkan program kemahiran dalam pekerjaan di bawah inisiatif Akademi Dalam Industri. Majlis turut dihadiri oleh Tan Sri Syed Faisal Albar, Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM). Kesemua penerima sijil merupakan pekerja anak Syarikat Kumpulan DRB-HICOM yang menjalani program tersebut dalam bidang Kejuruteraan Automasi Industri dan Kawalan Kualiti Industri.
Tengku Zafrul berkata, “Peralihan industri pembuatan ke arah konsep smart manufacturing memerlukan tenaga kerja yang mahir dan terlatih dalam pelbagai aspek teknikal. Kemahiran teknikal tinggi (hi-tech) ini penting untuk kita memastikan ekosistem sektor pembuatan kita terus diperkukuhkan serta kekal relevan menelusuri arus teknologi dan kompetitif di pentas global. Peningkatan produktiviti ini juga penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelaburan bernilai tinggi, serta menjadi hab perdagangan dan perindustrian yang utama. Inilah yang akan mencipta peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, seterusnya meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat secara keseluruhan.”
Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail, majlis penyampaian sijil ini amat bermakna kerana ia menjadi bukti kejayaan pelaksanaan program Akademi Dalam Industri iaitu pembelajaran kemahiran dalam pekerjaan yang dipacu industri dan permintaan pasaran.
Menurut beliau, “Kejayaan 94 belia memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 setelah tamat tempoh 12 bulan ini melakar sejarah baharu bagi sektor pendidikan Negara, terutamanya pendidikan yang menitikberatkan kemahiran yang benar-benar diperlukan oleh pihak industri. Matlamat program adalah untuk membangunkan bakat tempatan masa hadapan yang mampan dan berkemahiran berdasarkan keperluan industri. Ia akan merapatkan jurang antara bekalan tenaga kerja dan permintaan serta mengurangkan kebergantungan pekerja asing berkemahiran rendah”.
”Inisiatif ini berkait rapat dengan matlamat Ekonomi MADANI yang menyasarkan peningkatan kedudukan Malaysia di tangga 25 teratas dunia bagi Indeks Pembangunan Manusia (HDI) dalam tempoh sepuluh tahun akan datang. Salah satu usaha bagi mencapai sasaran ini ialah dengan meningkatkan pencapaian Purata Tahun Persekolahan rakyat Malaysia yang merekodkan jumlah 10.6 tahun pada tahun 2023. Sasaran pada tahun 2033 ialah 12.7 tahun yang dijangka akan menyumbang kepada kedudukan HDI di tangga ke-23”.
”Sekaligus, ini menyokong hasrat Kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja mahir sebanyak 35 peratus menjelang tahun 2025. Usaha ini turut selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran dan bergaji tinggi”, jelas Zahid yang turut hadir ketika majlis graduasi tersebut.
Inisiatif Akademi Dalam Industri diperkenalkan pada tahun 2022 melalui projek rintis Academy in Factory (AiF). Lebih 15,000 belia telah mendaftar untuk inisiatif ini dengan penyertaan hampir 2000 syarikat perusahaan merentas 28 subsektor ekonomi. Maklumat lanjut mengenai Akademi Dalam Industri boleh didapati di https://www.aii.gov.my/.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my