Program Reformasi Kerenah Birokrasi Mampu Lonjak Produktiviti Negara

20 Mei 2024, Putrajaya – Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) mampu mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar kepada peniaga bagi menyokong pelaburan, perdagangan dan melonjakkan produktiviti negara.

 

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali semasa Majlis Amanat KSN pada 13 Februari yang lalu menekankan tentang keperluan semakan semasa peraturan dan pekeliling yang telah lapuk.

 

”Telah bertahun-tahun peraturan yang lapuk digunakan dan ada yang tidak sesuai dan perlu disemak semula,” kata Tan Sri KSN semasa berucap di Majlis Amanat tersebut. Susulan itu, surat arahan pelaksanaan semakan peraturan pada 19 Februari 2024 telah mengarahkan semua kementerian melaksanakan program RKB bagi mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar kepada peniaga dan rakyat.

 

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini telah mengenal pasti 20 projek rintis RKB melalui sesi libat urus Pembangunan Pelan Pelaksanaan RKB bersama 69 pegawai pengawal selia dari Kementerian dan Agensi Kerajaan.

 

Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, program RKB merupakan usaha semakan peraturan bagi meningkatkan kualiti kawal selia peraturan agar lebih cekap, telus dan berkesan.

 

”Fokus usaha ini adalah untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti penyampaian perkhidmatan awam dengan mengurangkan kerenah birokrasi melalui pendekatan Amalan Baik Peraturan (GRP)”.

 

”Melalui RKB, urusan peniaga dan rakyat dipermudah dengan memastikan pelaksanaan peraturan berpandukan prinsip GRP bagi kesejahteraan kepada rakyat melalui pertumbuhan ekonomi negara yang dipacu produktiviti”, tambah beliau.

 

Menurut Zahid, sesi libat urus yang diadakan ini bertujuan memperincikan isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan peraturan dan memberi panduan kepada pengawal selia dalam membangunkan cadangan penyelesaian. Pengawal selia turut mengenal pasti kos dan faedah cadangan penambahbaikan serta impak penyelesaian kepada pihak-pihak berkepentingan.

 

Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam menambah baik tatakelola dan sistem pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan Kerajaan. Ia merupakan salah satu projek di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dan dilaporkan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan MADANI (MTMM) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Perbadanan Produktiviti Malaysia di www.mpc.gov.my.

 

Tamat.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: