28 Mei 2024, Johor Bahru – Perbadanan Produktiviti Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor melalui inisiatif Kumpulan Kerja (WG) Land Matters Johor Singapore - Special Economic Zone (JS-SEZ) telah menganjurkan satu program khusus bagi mempertingkatkan proses kerja berkaitan Serah Balik Kurnia Semula Tanah di negeri ini dan bertujuan untuk menyokong serta memperkukuhkan inisiatif JS-SEZ. Perkara ini merupakan usaha bersama antara Johor dan Singapura dalam meningkatkan daya saing ekonomi di kawasan zon ekonomi khas.
Program yang diadakan kali ini telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Pejabat Tanah Galian, Pihak Berkuasa Tempatan, Iskandar Regional Development Authority (IRDA) dan ahli – ahli kumpulan kerja urusan tanah JS-SEZ.
Pengarah MPC Wilayah Selatan, Mohd Azwan Mohd Salleh dalam ucapan aluannya berkata, "Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam urusan tanah, yang secara langsung akan menyokong pertumbuhan ekonomi di JS-SEZ. Melalui program ini, kita dapat mengenal pasti dan menyelesaikan pelbagai isu serta halangan dalam proses Serah Balik Kurnia Semula Tanah. Ini akan mempercepatkan proses kelulusan permit pembinaan, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan ke negeri Johor,".
Penambahbaikan dalam proses kerja ini dijangka dapat mengurangkan tempoh masa yang diperlukan untuk memproses permohonan, mengurangkan birokrasi, dan meningkatkan ketelusan dalam urusan tanah. Langkah ini juga akan memberikan manfaat jangka panjang kepada pemaju dan pelabur, sekaligus meningkatkan daya saing Johor sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini.
Program ini adalah salah satu daripada beberapa inisiatif yang telah dirancang di bawah kerjasama JS-SEZ, yang menyasarkan pembangunan infrastruktur yang mampan dan lestari, serta memperkukuhkan hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura.
Dengan pelaksanaan program ini, Kerajaan Negeri Johor berharap dapat membina ekosistem pengurusan tanah yang lebih efisien dan responsif terhadap keperluan pembangunan masa kini, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik dan inklusif.
Tamat.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my