Tenaga Kerja Mahir Penjana Produktiviti Dan Ekonomi Negeri Melaka

28 Mac 2024, Melaka - Lanskap tenaga kerja perlu berubah daripada penghasilan tenaga kerja berasaskan penawaran kepada berasaskan permintaan dengan memberi penekanan kepada kemahiran berasaskan pekerjaan dalam industri. Peralihan ini adalah selaras dengan dasar semasa Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 untuk meningkatkan tenaga mahir tempatan daripada 29.6 peratus pada tahun 2021 kepada 35 peratus menjelang 2025.

 

Seiring dengan itu, Kerajaan Negeri Melaka sentiasa serius dalam mewujudkan jaringan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan dan pihak industri bagi membangunkan tenaga kerja masa hadapan yang berkemahiran.

 

Menurut YB Datuk Khaidirah melalui ucapan pembukaannya bagi sesi Dialog ”Bakat dan Produktiviti Penjana Pembangunan Ekonomi Negeri Melaka ”beberapa strategi telah dirangka oleh Kerajaan Negeri melalui Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035) yang telah menggariskan 25 inisiatif untuk pembangunan ekonomi secara holistik termasuklah pembangunan TVET. Kerajaan Negeri sentiasa komited menambahbaik ekosistem TVET bagi membangunkan tenaga kerja mahir agar dapat memenuhi permintaan industri serta berperanan menjadi agen perubahan dalam melahirkan bakat berkemahiran tinggi.

 

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Melaka telah merangka koridor ekonomi baharu yang dinamakan Straits of Melaka Waterfront Economic Zone yang mensasarkan pelaburan berimpak tinggi bernilai kira-kira RM100 bilion. Selain daripada itu, pembangunan - pembangunan baharu kawasan perindustrian seperti MCORP Hi Tech Park, German Technology Park dan Elkay 2.0 turut akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Melaka. Maka, kesediaan tenaga kerja yang berkemahiran perlu diberi perhatian.

 

Ketua Pengarah MPC, En Zahid Ismail pula berkata ” tenaga kerja berkemahiran adalah merupaka antara pemacu produktiviti yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri. Apabila pekerja berkemahiran tinggi, mereka akan lebih inovatif dan produktif. Pekerja akan mampu melaksanakan kerja secara lebih efisyen dan efektif. Kemampuan pengeluaran syarikat akan meningkat, keuntungan akan berganda dan ianya dapat diterjemahkan dengan kadar gaji dan upah pekerja yang lebih tinggi. Seterusnya, merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Bagi meningkatkan tenaga mahir dalam bidang yang diperlukan oleh industri, peranan industri adalah sangat penting. Industri merupakan platform kepada bakat-bakat untuk mendapatkan serta meningkatkan kemahiran selari dengan perkembangan teknologi dan landskap terkini industri”.

 

Seiring dengan itu, Program Academy in Industry (AiI) diperkenalkan oleh MPC bagi membangunkan pekerja berkemahiran tinggi untuk industri. Program ini merupakan kolaborasi inovatif di antara industri, akademia dan agensi kerajaan bagi meningkatkan pencapaian pendidikan negara serta menangani isu kebergantungan terhadap tenaga kerja asing berkemahiran rendah, penganguran dan mengurangkan jurang ketidakpadanan kemahiran dalam industri. 

 

Kerajaan Negeri Melaka bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang mempergiatkan usaha melonjakkan produktiviti dan daya saing negeri dengan memberi tumpuan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri tempatan melalui pelaksanaan AiI.

 

Tamat.

Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: