14 November 2024, Kuching – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak dengan kerjasama Tourism Productivity Nexus (TPN) dan Sarawak Economy Development Corporation (SEDC) telah berjaya menganjurkan Bengkel Pensijilan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) dan Pelan Tindakan Pelancongan Lestari: Memacu Produktiviti, Kecemerlangan, dan Kelestarian dalam Industri Pelancongan bertempat di Kompleks MPC Sarawak.
Bengkel ini telah dihadiri oleh 50 peserta dari kalangan penggiat industri pelancongan, antaranya Business Event Venues (BEV), Business Event Company (BEC), Product/Site Operators (PSO), dan Environmental and Sustainability Personnel dari seluruh Kuching, Sarawak.
Bengkel ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan piawaian industri pelancongan melalui inisiatif Pensijilan Malaysia Tourism Excellence (MaTEx) serta membangunkan strategi kesediaan industri untuk mengamalkan pelancongan lestari.
Turut hadir adalah Encik Rohizam Md Yusof, Champion TPN yang berperanan memimpin usaha mempromosikan amalan pelancongan lestari, memperkukuh kerjasama pihak kerajaan dan industri dalam memacu transformasi digital industri pelancongan.
Dalam ucapan alu-aluan, Dr. Mazlina Shafi’i, Pengarah MPC Sarawak telah menekankan kepentingan program ini dalam memperkukuhkan daya saing industri pelancongan Sarawak.
“Pelaksanaan program seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan piawaian industri pelancongan tetapi juga memberi laluan ke arah pemuliharaan alam sekitar yang lestari.
Sarawak sebagai destinasi pelancongan terkenal memerlukan usaha kolektif dan komitmen tinggi dari semua pihak untuk mencapai kelestarian ini.
MaTEx dan strategi pelancongan lestari yang dirangka akan menjadi panduan dan dorongan kepada semua pihak untuk terus melangkah ke hadapan dengan amalan-amalan terbaik yang selaras dengan kehendak global,” ujar Dr. Mazlina.
Tambah beliau, “Melalui bengkel ini, kami berharap dapat membina strategi bersama pengiat industri pelancongan di Sarawak yang mampu membawa kepada perubahan positif tetapi beraspirasi untuk menjadi peneraju kecemerlangan dan kelestarian.
Ini adalah inisiatif kolektif untuk memastikan Sarawak kekal relevan dan kompetitif sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat global,” Program Pensijilan MaTEx yang diperkenalkan ini diharap mampu membantu industri pelancongan Sarawak meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk sekaligus memenuhi jangkaan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, memperkasakan industri dengan strategi pelancongan mampan yang bakal meletakkan Sarawak sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka yang komited dalam menjaga kelestarian alam sekitar selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak.
MPC berharap agar semua pemain industri pelancongan dapat berperanan secara aktif dalam memacu perubahan positif ke arah pelancongan yang produktif, cemerlang, dan lestari, sekali gus membantu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my