26 Februari 2025, Petaling Jaya – Prestasi produktiviti bagi tahun 2024 yang diumumkan oleh Ketua Perangkawan Malaysia mencerminkan daya tahan ekonomi negara akan terus berkembang maju. Bagi tahun 2024, tahap produktiviti pekerja meningkat kepada RM99,137 setiap pekerja dengan pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus berbanding RM96,789 pada tahun 2023. Ini menandakan negara berada di hala tuju yang positif seterusnya ke arah ekonomi yang lebih cekap dan berdaya saing.
Namun untuk negara mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti tahunan 3.7 peratus yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Malaysia perlu melaksanakan reformasi penstrukturan ekosistem produktiviti yang lebih berani dan berskala besar bagi mempercepatkan pertumbuhan produktiviti dan memastikan daya saing negara kekal kukuh dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar.
Sejajar dengan usaha ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan terus mempelbagaikan inisiatif membantu syarikat meningkatkan kecekapan operasi dengan pelaksanaan program pemodenan peraturan, memperkasakan tenaga kerja dalam kemahiran literasi digital khusus bidang teknologi AI, serta mengurangkan beban peraturan melalui bimbingan kepada industri dalam penerimagunaan amalan terbaik untuk meningkatkan daya saing perniagaan.
Walaupun pencapaian meningkat, peningkatan secara beransur-ansur tidak mencukupi untuk membawa Malaysia ke tahap ekonomi global yang lebih kompetitif. Transformasi produktiviti yang lebih agresif dan berimpak tinggi perlu diketengahkan dalam tempoh RMKe-13 agar matlamat Malaysia berada dalam kelompok 12 ekonomi terbaik dunia dapat direalisasikan.
MPC komited untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, pemimpin industri dan pemegang taruh utama dalam menjadikan produktiviti sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Prestasi produktiviti Malaysia berada di landasan yang baik namun untuk mencapai peningkatan lebih tinggi, reformasi yang lebih berani dan menyeluruh harus dilaksanakan dengan pantas, diiringi dengan sinergi yang lebih kukuh antara sektor awam dan swasta,” kata Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail.
Pertumbuhan produktiviti mampan memerlukan pendekatan strategik yang holistik, merangkumi penambahbaikan dasar, penyelarasan rentas sektor, serta pemerkasaan industri dan tenaga kerja. MPC menegaskan bahawa konsep Whole-of-Nation, yang menggabungkan pendekatan Whole-of-Government dan Public-Private Partnership adalah kunci utama untuk melonjakkan produktiviti negara ke tahap lebih tinggi.
Jika diperincikan lagi, usaha ini meliputi pemodenan rangka kerja peraturan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih mesra pelabur, mengurangkan kerenah birokrasi, dan mempercepatkan transformasi perkhidmatan awam ke arah digitalisasi. Pada masa yang sama, sektor swasta perlu menjadi penggerak utama dalam penerimagunaan teknologi dan meningkatkan pelaburan R&D termasuk automasi, kecerdasan buatan (AI), serta analitik data untuk meningkatkan kecekapan dan daya saing dalam pasaran global yang semakin kompleks.
Dengan hala tuju strategik yang jelas dan pelaksanaan reformasi yang tegas, Malaysia bukan sahaja mampu mencapai sasaran pertumbuhan produktiviti yang lebih tinggi malah berupaya membina ekosistem ekonomi yang progresif, cekap dan bersedia menghadapi cabaran global. Transformasi ini bukan sekadar pilihan, tetapi satu keperluan untuk memastikan Malaysia kekal relevan dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Tamat.
Untuk Pertanyaan Media:
media@mpc.gov.my