Mesyuarat Global Excellence Council (Gec) 2024 Menekankan Kepentingan Kecemerlangan Perniagaan Untuk Pertumbuhan Mampan

10 Disember 2024, Petaling Jaya – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), merupakan wakil Malaysia dalam Majlis Kecemerlangan Global (Global Excellence Council – GEC).


GEC ialah sebuah organisasi antarabangsa yang terdiri daripada 12 negara, masing-masing mentadbir Model Kecemerlangan dan Anugerah di wilayah atau blok perdagangan mereka.


Sebagai ahli aktif, MPC memainkan peranan penting dalam mempromosikan kecemerlangan perniagaan di Malaysia dan memastikan keberterusan inovasi dalam proses Kecemerlangan Perniagaan.


Mesyuarat Ahli Majlis GEC 2024 berlangsung secara hibrid pada 30 November 2024, dipengerusikan oleh Confederation of Indian Industry Institute of Quality (CII-IQ).


Mesyuarat fizikal diadakan di Bengaluru, India, dan Malaysia diwakili oleh Puan Saliza Saari, Pengarah MPC, yang hadir secara atas talian.


Dengan tema "Memacu Daya Saing: Kecemerlangan untuk Pertumbuhan Mampan", ahli mesyuarat memberi fokus kepada cabaran global dalam pengurusan dan penilaian kecemerlangan perniagaan.


Sebagai pentadbir kepada Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), MPC memainkan peranan penting dalam menanda aras amalan terbaik global dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan dengan ahli-ahli GEC dari pelbagai negara.


Melalui penyertaan aktif dalam mesyuarat dan kumpulan kerja GEC, MPC berpeluang berinteraksi dengan organisasi terkemuka seperti Business Excellence Australia (BEA), Baldrige Performance Excellence Program (USA), China Association For Quality (CAQ), Dubai Government Excellence Programme (DGEP), The European Foundation for Quality Management (EFQM), National Quality Foundation (FNQ) Brazil, FUNDIBEQ (Iberian Peninsula and Latin America), Instituto para el Fomento a la Calidad Total (IFCT) Mexico, Japan Quality Award Council (JQA), dan African Excellence Forum (AEF).


Sebagai ahli GEC, MPC komited untuk terus menyumbang kepada kemajuan kecemerlangan global dan memastikan Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia sentiasa berada pada tahap tertinggi.


Mesyuarat GEC ini diadakan setiap tahun, dan China Association for Quality (CAQ) telah dipilih untuk menjadi tuan rumah pada tahun 2025.


Untuk maklumat lanjut mengenai Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF), sila hubungi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)


Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: