MPC Sarawak rencanakan lima program inisiatif Kecemerlangan Perniagaan

10 September 2024

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak merencanakan lima program inisiatif Kecemerlangan Perniagaan (BE) tahun ini bagi memperkasa dan meningkatkan produktiviti organisasi.


Pengarah MPC Sarawak Dr Mazlina Shafi’i berkata, program itu meliputi Sesi Perkongsian Amalan Terbaik BE, Sesi Webinar: Pengenalan Kriteria Business Excellence (BE) dan Sesi Webinar: Pemahaman Penilaian & Pemarkahan Kriteria Rangka Kerja Kecemerlangan Perniagaan Malaysia (MBEF). 


Turut akan diadakan pada tahun ini katanya, adalah Business Excellence Workshop for Practitioners (Bengkel BE untuk Penggamal) dan Business Excellence Workshop for Assessors (Bengkel BE Untuk Penilai).


“Semalam (9 September) kita (MPC Sarawak) telah mengadakan Sesi Perkongsian Amalan Terbaik BE bertemakan Transformasi Ke Arah Kecemerlangan Organisasi bersama 50 peserta daripada pelbagai sektor organisasi, yang mana ini merupakan titik permulaan bagi program inisiatif BE kita. 


“Pada program ini, kita menjemput organisasi yang telah memperoleh kejayaan dalam Anugerah Kecemerlangan Industri Premier Sarawak (PSIEA) iaitu Senari Synergy Sdn Bhd, IMetal (M) Sdn Bhd dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) untuk berkongsikan amalan terbaik organisasi masing-masing.


“Untuk makluman, JAIS merupakan institusi Islam pertama di Sarawak yang telah memperoleh sijil Malaysia Business Excellence Framework (MBEF),” katanya.


Beliau berkata demikian pada sesi sidang media dan temu bual bersama Pengarah MPC Sarawak mengenai inisiatif organisasi itu untuk memperkasakan produktiviti negara dan negeri di sini, hari ini.


Manakala pada 11 September, Dr Mazlina berkata, MPC Sarawak akan menganjurkan Sesi Webinar: Pengenalan Kriteria BE melalui platform dalam talian. 


Program tersebut katanya, terbuka kepada organisasi awam dan swasta di Sarawak yang ingin meningkatkan kecemerlangan organisasi ke tahap yang maksimum. 


“Selepas program Pengenalan Kriteria BE ini, kita akan memperkenalkan program Sesi Webinar: Pemahaman Penilaian & Pemarkahan Kriteria MBEF dan Business Excellence Workshop for Practitioners pada Oktober 2024.


“Program Sesi Webinar ini akan diadakan secara dalam talian sementara Business Excellence Workshop for Practitioners diadakan secara fizikal. 


“Di sini, kita akan membimbing syarikat sehingga dapat membuat laporan perniagaan yang berkesan, jika mahu masuk sebarang pertandingan atau menambah baik proses kerja atau produktiviti mereka,” ujarnya.


Selain itu, Dr Mazlina berkata, pihaknya akan melaksanakan program Business Excellence Workshop for Assessors pada November 2024.


Sehubungan itu, beliau menyeru para organisasi yang belum melaksanakan BE untuk mempertimbangkan bagi mengadopsi inisiatif ini. 

“Inisiatif BE ini adalah menyeluruh bukan sahaja dari segi kepimpinan, infrastruktur, pemerkasaan tetapi macam mana kita boleh mengintegrasikannya secara digital.


“Justeru, saya sarankan semua organisasi awam atau swasta untuk datang ke MPC dan mengikuti program kita,” katanya.



Sumber : Utusan Borneo

Share by: