15 Ogos 2024
Pahang memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan tenaga kerja berkualiti sebagai satu pusat pertumbuhan industri di negara ini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata ia juga bagi membolehkan negeri ini mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kehadiran wakil industri dari pelbagai sektor terutamanya sektor automotif adalah bukti komitmen kita semua untuk memajukan industri automotif Malaysia melalui pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
“Matlamat kita jelas iaitu untuk merangka strategi dalam pembangunan modal insan yang berteraskan kemahiran. Ini adalah keperluan yang sangat mendesak, terutamanya dalam sektor industri yang mempunyai potensi besar seperti automotif, pembuatan, dan sektor-sektor lain yang menjadi tonggak kepada ekonomi negara.
“Di Pahang, sektor ini berkembang pesat dengan infrastruktur yang lengkap, kedudukan strategik, dan tenaga kerja yang berkemahiran. Namun, kita perlu memberi tumpuan kepada usaha menarik dan mengekalkan industri terus berkembang dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berkemahiran untuk merealisasikan potensi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Lonjakan Produktiviti Melalui Peningkatan Kemahiran Akademi Dalam Industri bagi Negeri Pahang dan Bengkel Unlocking Skilled Labor Potential and Opportunities in Automotive Industry anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Hotel Zentih.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), YBrs. Encik Zahid Ismail; Timbalan Ketua Pengarah MPC, YBrs. Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah; dan Pengarah Wilayah MPC Negeri Pahang, YBrs. Dr. Noor Aishah Hj Hassan.
Menurut beliau, sektor automotif menjadi salah satu tunjang utama kemajuan negara kita dengan potensi besar untuk menjana aktiviti bernilai tinggi.
“Ekonomi Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan positif dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran global.
“Pertumbuhan ekonomi negara kita terus didorong oleh sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan, pertanian, dan automotif. Kerajaan komited kepada kepelbagaian ekonomi, transformasi digital, dan pembangunan mampan untuk memastikan ekonomi yang kukuh dan inklusif.
“Dalam landskap ekonomi yang dinamik ini, sektor automotif menjadi salah satu tunjang utama kemajuan negara kita dengan potensi besar untuk menjana aktiviti bernilai tinggi dan membuka peluang pekerjaan, industri automotif adalah nadi penting ekonomi Malaysia,” katanya.
Sumber : PAHANGMEDIA