Peranan MPC pacu produktiviti, daya saing kecekapan perniagaan

21 Ogos 2024

PERBADANAN Produktiviti Malaysia (MPC), badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), berperanan memacu produktiviti dan daya saing negara.


Tiga fokus utama MPC dalam memacu produktiviti adalah reformasi peraturan, penerimagunaan teknologi dan pembangunan bakat berkemahiran.


MPC bertanggungjawab memantau pencapaian daya saing negara melalui laporan daya saing antarabangsa dan mengemukakan cadangan dasar yang bersasar kepada pihak berkepentingan.


Kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Dunia (WCR) 2024 jatuh pada kedudukan ke-34 dalam kalangan 67 ekonomi perbandingan.


Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tempat keempat selepas Singapura (1), Thailand (25), dan Indonesia (27).


Empat faktor daya saing diukur dalam WCR dan hanya satu faktor yang mengekalkan kedudukan iaitu Infrastruktur manakala faktor kecekapan kerajaan dan kecekapan perniagaan merekodkan penurunan ketara.


Faktor prestasi ekonomi kekal stabil walaupun mencatatkan penurunan satu anak tangga ke tempat kelapan.


Indikator WCR bagi produktiviti buruh berada pada kedudukan yang kurang baik sejak tahun 2010 iaitu antara tempat ke-45 dan ke-51 dalam kalangan ekonomi perbandingan.


Kedudukan ini menggambarkan pertumbuhan perlahan produktiviti negara yang memerlukan tindakan dan strategi lebih berkesan bagi melonjakkan pencapaian Malaysia.


Penekanan perlu diberikan untuk mengoptimumkan pasaran buruh Malaysia bagi meningkatkan produktiviti dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Pasaran buruh adalah salah satu kriteria yang diukur dalam faktor kecekapan perniagaan.


Dalam arus ekonomi global yang dinamik, kemampuan menarik, mengurus, dan mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dari luar negara adalah salah satu faktor kritikal untuk pembangunan industri dan peningkatan daya saing.


MPC berperanan mendalami indikator daya saing yang berkaitan pasaran buruh dan membangunkan strategi serta cadangan penambahbaikan dasar dan peraturan bagi reformasi pasaran buruh negara.


Kerjasama awam-swasta pacu persekitaran perniagaan berdaya saing tinggi MPC, sebagai Sekretariat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), berperanan menyelaraskan kerjasama antara semua pihak dan memastikan pelaksanaan cadangan penyelesaian berjalan lancar.


Dalam pengurusan dan penggajian tenaga kerja mahir luar negara yang akan bekerja di Malaysia, pembangunan sistem tetingkap tunggal Xpats Gateway adalah satu penyelesaian inovatif yang memudahkan pergerakan ekspatriat.


MPC bertanggungjawab memastikan sistem berfungsi dengan cekap dan memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan.


Proses birokrasi yang kompleks, bertindih, dan kurang efisien sebelum ini menjadi antara penghalang utama dalam usaha Malaysia menarik dan menggaji tenaga kerja berkemahiran tinggi atau ekspatriat dari luar negara.


Proses kelulusan pas ekspatriat memakan masa sehingga 12 bulan sebelum ini, justeru merencatkan operasi perniagaan dan aktiviti ekonomi malah mengurangkan keyakinan pelabur terhadap kemampuan Malaysia untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif.


Bagi menangani isu ini, MPC menyedari keperluan untuk mereformasi proses penggajian ekspatriat. MPC memudahcara sesi libat urus melalui platform PEMUDAH dengan pihak berkepentingan dari bulan Mac hingga Jun 2023.


Usaha ini bertujuan memastikan bahawa sistem yang dibangunkan adalah mesra pengguna dan memenuhi keperluan semua pihak.


Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, berkata MPC mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government Approach) dalam meneliti kekangan peraturan yang dihadapi peniaga.


Konsultasi bersama sektor awam dan swasta dipergiatkan bagi meningkatkan ketelusan dan pematuhan undang-undang melalui sistem yang dibangunkan.


Menurut Zahid lagi, kejayaan pelaksanaan sistem ini menjadi bukti bagaimana kerjasama antara agensi dan komitmen yang kukuh dapat membawa kepada penyelesaian yang berkesan bagi masalah-masalah birokrasi.


Sebelum pengenalan Xpats Gateway, proses kelulusan permohonan pas ekspatriat di Malaysia membabitkan lebih 26 agensi pelulus dan badan pengawal selia yang berbeza.


Ini menyebabkan pertindihan dalam prosedur dan proses yang berulang, seterusnya membawa kepada kelewatan yang ketara, dengan proses kelulusan boleh mengambil masa antara enam hingga dua belas bulan.


Terdapat juga ketidakselarasan dalam bilangan ekspatriat yang diluluskan dengan jumlah yang dipohon oleh syarikat, justeru menyebabkan ketidakpastian dalam perancangan tenaga kerja.


TalentCorp Malaysia telah diberi mandat oleh kerajaan Malaysia untuk membangunkan satu sistem tetingkap tunggal yang menyepadukan semua proses kelulusan di bawah satu platform digital. Sistem ini membolehkan majikan mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui portal ESD Online.

Prosedur yang ditambah baik ini menghapuskan keperluan proses manual yang berulang dan memudahkan pemantauan permohonan.


Kemudahan membawa masuk ekspatriat dengan cepat dan cekap meningkatkan ease of doing business bagi perniagaan, di mana keperluan atau kekosongan bagi kepakaran dan jawatan tertentu dapat diisi dengan cepat.


Salah satu impak positif ketara ialah pengurangan tempoh masa kelulusan permohonan pas ekspatriat. Dengan Xpats Gateway, permohonan dalam kategori Fast Track diluluskan dalam masa dua hingga tiga hari bekerja, manakala permohonan dalam kategori Normal Track diproses dalam masa sepuluh hari bekerja.

Pengurangan masa ini adalah satu kejayaan besar yang memberi kelebihan kompetitif kepada syarikat yang memerlukan tenaga kerja mahir dengan segera, terutama dalam sektor yang memerlukan kepakaran khusus.


Antara 1 Januari dan 30 Jun 2024, sistem Xpats Gateway telah menerima 16,326 permohonan di mana lebih 16,000 telah diproses mengikut piagam pelanggan.

Tahun lalu, sistem Xpats Gateway telah memproses sebanyak 14,351. Lebih 18,000 syarikat yang berdaftar dalam ESD menerima manfaat daripada sistem Xpats Gateway.


Dalam usaha meningkatkan prestasi Malaysia dalam faktor daya saing kecekapan perniagaan, sektor awam perlu meningkatkan kecekapan pengurusan tenaga kerja, dasar digital teknologi, dan piawaian mampan.


Xpats Gateway terbukti sebagai inovasi GovTech yang berkesan dalam menjamin persekitaran perniagaan dan pelaburan yang kondusif.


Dengan mengurangkan masa kelulusan permohonan pas ekspatriat dan meningkatkan kecekapan proses, sistem ini telah memberikan impak positif yang besar kepada perniagaan dan ekonomi.


Sumber : Berita Harian

Share by: