20 Projek Rintis Bagi Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi

20 Mei 2024

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri mengenal pasti 20 projek rintis inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).


RKB adalah inisiatif kerajaan untuk semakan peraturan bagi meningkatkan kualiti kawal selia peraturan supaya lebih cekap, telus dan berkesan.


Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, berkata ia diperoleh melalui sesi libat urus Pembangunan Pelan Pelaksanaan RKB bersama 69 pegawai pengawal selia dari kementerian dan agensi kerajaan.


"Fokus usaha itu adalah untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan dan integriti penyampaian perkhidmatan awam dengan mengurangkan kerenah birokrasi melalui pendekatan Amalan Baik Peraturan (GRP)."Melalui RKB, urusan peniaga dan rakyat dipermudah dengan memastikan pelaksanaan peraturan berpandukan prinsip GRP bagi kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi negara yang dipacu produktiviti," katanya dalam kenyataan hari ini.


Zahid berkata, sesi libat urus yang diadakan itu bertujuan memperincikan isu dan cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan peraturan dan memberi panduan kepada pengawal selia dalam membangunkan cadangan penyelesaian.


Selain itu katanya, pengawal selia turut mengenal pasti kos dan faedah cadangan penambahbaikan serta impak penyelesaian kepada pihak berkepentingan.


Inisiatif RKB selari dengan aspirasi Malaysia Madani dalam menambah baik tatakelola dan sistem pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kerajaan.


Ia adalah salah satu projek di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dan dilaporkan kepada Mesyuarat Majlis Tindakan MADANI (MTMM) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.


Program itu juga mampu mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar kepada peniaga bagi menyokong pelaburan, perdagangan dan melonjakkan produktiviti negara.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali ketika Majlis Amanat KSN pada 13 Februari lalu turut menekankan berkenaan keperluan semakan semasa peraturan dan pekeliling yang telah lapuk.


Susulan itu, surat arahan pelaksanaan semakan peraturan pada 19 Februari 2024 telah mengarahkan semua kementerian melaksanakan program RKB bagi mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar kepada peniaga dan rakyat.


Sumber : Berita Harian Online

Share by: