Akademi Dalam Industri mampu tingkatkan tenaga kerja masa hadapan

11 Mei 2024

Pelaksanaan Akademi Dalam Industri yang lebih meluas mampu meningkatkan tenaga kerja masa hadapan yang bukan saja mampan tetapi berkemahiran tinggi.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif Akademi Dalam Industri yang diperkenalkan pada 2022 melalui projek rintis Academy in Factory (AiF) menyaksikan 15,000 belia sudah mendaftar dengan penyertaan hampir 2,000 syarikat perusahaan merentas 28 subsektor ekonomi.


"Inisiatif ini bertujuan mengecilkan jurang ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan tenaga kerja, serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing yang berkemahiran rendah.


"Usaha ini dijangka akan menyumbang secara signifikan kepada peningkatan produktiviti pasaran buruh di negara kita.


"Peralihan industri pembuatan ke arah konsep 'smart manufacturing' memerlukan tenaga kerja yang mahir dan terlatih dalam pelbagai aspek teknikal. Kemahiran teknikal tinggi ini penting untuk kita memastikan ekosistem sektor pembuatan kita terus diperkukuhkan serta kekal relevan menerusi arus teknologi dan kompetitif di pentas global," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Akademi Dalam Industri yang diadakan di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan, DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) Tan Sri Syed Faisal Albar.


Pada majlis itu, seramai 94 graduan dari kohort pertama Program Akademi Dalam Industri yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) berjaya melengkapkan pengajian mereka.


Kesemua penerima sijil adalah pekerja anak syarikat kumpulan DRB-HICOM yang menjalani program itu dalam bidang Kejuruteraan Automasi Industri dan Kawalan Kualiti Industri.


Tengku Zafrul berkata, majlis yang berlangsung hari ini adalah manifestasi kepada langkah reformasi dalam memperkukuhkan pasaran buruh negara.


"Saya mengharapkan lebih banyak belia tempatan serta syarikat di negara kita akan menyertai Akademi Dalam Industri dan turut serta dalam agenda reformasi pasaran buruh yang lebih dinamik dan inklusif," katanya.



Sumber : Harian Metro Online

Share by: