29 Mei 2024
Malaysia akan menerajui beberapa inisiatif melibatkan pelbagai negara, termasuk bengkel dan persidangan, yang memberi tumpuan kepada pembaharuan kawal selia, peningkatan produktiviti melalui kecerdasan buatan (AI) dan amalan pengurusan moden untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusi Malaysia Productivity Corporation (MPC), Datuk Kamaruzzaman Johari, berkata inisiatif ini bertujuan untuk melengkapkan ekonomi anggota dengan mekanisme dan strategi terkini bagi memacu pertumbuhan produktiviti yang mampan.
“Produktiviti adalah teras kemakmuran ekonomi,” menurutnya dalam satu kenyataan semalam.
Baru-baru ini, MPC telah menganjurkan secara bersama mesyuarat badan pentadbir (GBM) Pertubuhan Produktiviti Asia (APO) ke-66 melibatkan wakil dari 20 negara anggota.
Sesi itu bertujuan untuk meningkatkan produktiviti serantau dan menetapkan tahap bagi pertumbuhan sosioekonomi yang mampan di seluruh Asia Pasifik.
GBM pada tahun ini memberi tumpuan kepada inisiatif dan strategi yang berfokus kepada masa depan, antaranya pembangunan rangka kerja untuk menyelaraskan pelaksanaan projek yang sejajar dengan keperluan anggota, dan kemas kini tentang pendekatan produktiviti hijau untuk paradigma alam sekitar dan produktiviti.
Sumber : BERNAMA Online