Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi, Uji Kaji Peraturan dilancar

24 November 2024

KUALA LUMPUR: Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Pekeliling Uji Kaji Peraturan dilancarkan pada Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang melabuh tirainya hari ini.


Dua pekeliling itu dilihat sebagai bukti dan komitmen perkhidmatan ke arah perubahan manakala agenda reformasi itu berupaya membawa Malaysia kembali bergelar Harimau Asia.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menegaskan RKB adalah panduan kepada semua agensi awam untuk mempercepat pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi bagi memastikan pentadbiran yang lebih cekap.


Beliau berkata, pekeliling itu boleh memastikan pentadbiran dikelola dengan lebih cekap, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan beban peraturan tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan.


"Langkah ini bertujuan mewujudkan persekitaran kawal selia yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing negara.


"Ia juga menyumbang kepada peningkatan produktiviti nasional dan memperbaiki indikator birokrasi dalam Laporan Daya Saing Dunia, dengan matlamat mencapai kedudukan ke-12 teratas menjelang 2033 seperti matlamat Kerangka Ekonomi MADANI.


"Pekeliling Uji Kaji Peraturan pula memberi panduan kepada pengawal selia untuk menguji pendekatan baharu terhadap peraturan sedia ada agar lebih inovatif, berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa dalam menangani cabaran semasa yang kompleks," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.


Shamsul Azri berkata, sebanyak 200 projek RKB sudah dan sedang dilaksanakan bagi tahun ini.


Justeru, beliau menyarankan semua kementerian, agensi, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berusaha mendaftar serta melaksanakan projek RKB baharu bagi tahun depan.


Untuk memastikan impak lebih besar dan menyeluruh, beliau menyasarkan 500 projek RKB dilaksanakan tahun depan.


"Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi simbol komitmen kita untuk mempercepat transformasi sektor awam, memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat, dan mendukung agenda pembangunan negara.


"Dengan adanya sistem pemantauan dan peningkatan berterusan seperti RKB, perkhidmatan awam dapat berfungsi sebagai pemangkin kepada produktiviti sektor awam dan swasta, dan secara keseluruhannya kepada negara serta daya saing ekonomi," katanya.


Berhubung dapatan konvensyen dua hari bermula semalam itu, Shamsul Azri memohon Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku penganjur untuk mengeluarkan dokumen hasil.


Pendekatan seperti itu, katanya, boleh dikongsi kepada semua anggota perkhidmatan.


"Konvensyen kita dua hari ini dan deklarasi yang ditandatangani oleh saya dan semua Setiausaha Kerajaan (SUK) semalam, hanya permulaan awal untuk kita melangkah ke hadapan dalam pelaksanaan agenda reformasi perkhidmatan awam.


"Kita akan terus mewacanakan reformasi menerusi konvensyen seterusnya yang lebih khusus dan berfokus kepada setiap lima teras reformasi ini iaitu nilai dan tatakelola, modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan dan sinergi awam swasta.


"Konvensyen seterusnya akan membabitkan keseluruhan pemegang taruh meliputi perkhidmatan awam Persekutuan, negeri, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta termasuk badan antarabangsa seperti OHCHR, IMD dan ITU," katanya.


Sumber: Berita Harian Online

Share by: