28 November 2024, Kota Bharu – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bakal melancarkan inisiatif strategik untuk mentransformasi industri penternakan ayam pedaging di Negeri Kelantan melalui pembangunan Pelan Tindakan Produktiviti Penternakan Ayam Moden.
Pelan ini dirangka bagi memperkasa sektor agromakanan negeri dengan penggunaan teknologi moden sebagai pemacu utama produktiviti dan daya saing.
Bagi merealisasikan usaha ini, MPC bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan, dan Komoditi Negeri Kelantan untuk memastikan pelaksanaan pelan tindakan diselaraskan dengan keperluan negeri serta matlamat pembangunan pertanian yang mampan.
Pelan ini dimulakan dengan projek rintis yang akan dilaksanakan pada awal 2025.
Beberapa penternak ayam yang telah memenuhi kriteria tertentu, termasuk dari segi infrastruktur, kapasiti pengeluaran, dan komitmen tinggi, telah dikenalpasti untuk menyertai program ini.
Penternak-penternak terpilih akan menjalani latihan intensif yang dikelolakan oleh pakar industri, dengan penekanan pada teknologi seperti Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) untuk meningkatkan pengurusan ladang.
Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail, menyatakan bahawa usaha ini adalah langkah penting untuk melonjakkan produktiviti industri penternakan ayam di Kelantan.
“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem pengurusan ladang dapat dipertingkatkan, menghasilkan kualiti yang lebih baik, dan keuntungan yang lebih tinggi. Selain itu, inisiatif ini mampu mencipta peluang pekerjaan baharu untuk rakyat tempatan dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.”
Kerjasama dengan kerajaan negeri dijangka mengukuhkan lagi keberkesanan projek ini, menjadikan penternakan ayam moden sebagai model untuk pembangunan sektor agromakanan secara keseluruhan.
Projek rintis ini akan dijadikan penanda aras untuk pelaksanaan lebih meluas pada masa hadapan, sekaligus memperkukuh daya saing ekonomi negeri.
MPC komited untuk memacu produktiviti dan daya saing ke arah sasaran pertumbuhan 3.7% produktiviti negara, serta meletakkan Malaysia dalam kedudukan 12 negara paling berdaya saing melalui pelbagai misi peningkatan produktiviti seperti memperkasa bakat, mempercepatkan penerimagunaan teknologi, dan mereformasi peraturan.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my