Perlis, 24 Disember 2024 — Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis telah menganjurkan program khas bertemakan Transformasi Digital Melalui Kecerdasan Buatan (AI) bagi Meningkatkan Produktiviti dan Kecekapan Pengurusan Pentadbiran dan Perkhidmatan Awam Kerajaan Negeri Perlis sebagai usaha mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan, dan produktiviti penjawat awam di negeri ini.
Bengkel ini adalah sebahagian daripada strategi MPC bagi menyokong Pelan Digital Perlis 2021-2030, selaras dengan aspirasi negeri untuk mencapai status Autonomous Digital Service @ Perlis Government.
Kecerdasan Buatan (AI) memainkan peranan penting dalam transformasi perkhidmatan awam dengan memperkenalkan penyelesaian yang lebih pantas, cekap, dan tepat.
Teknologi AI dapat menganalisis data secara mendalam, meramalkan pola keperluan masyarakat, serta mengautomasi tugas-tugas rutin, membolehkan penjawat awam menumpukan perhatian kepada tugasan strategik yang memerlukan sentuhan manusia.
Melalui aplikasi AI, penyampaian perkhidmatan menjadi lebih responsif terhadap keperluan rakyat, sekali gus meningkatkan kepuasan dan kepercayaan masyarakat terhadap sektor awam.
Inisiatif ini bukan sahaja menyokong matlamat negeri dalam pendigitalan tetapi juga menjadi langkah proaktif untuk memperkukuhkan Perlis sebagai peneraju pentadbiran awam berasaskan teknologi pintar di Malaysia.
Inisiatif ini memberi platform kepada penjawat awam untuk memahami potensi AI dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, menjadikan transformasi digital sebagai nadi utama perkhidmatan awam yang dinamik dan berkesan.
Seramai 30 peserta daripada pelbagai jabatan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (SUK), agensi kerajaan, dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah hadir ke program ini yang memberi tumpuan kepada penerapan teknologi kecerdasan buatan dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam.
Timbalan SUK Perlis (Pengurusan), YBrs. Dr. Noriman bin Rojulai, turut hadir memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini, dan beliau menegaskan bahawa teknologi AI mampu menjadi pemangkin utama ke arah meningkatkan keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri.
Encik Mohamad Azrol Mohamad Dali, Pengarah MPC Wilayah Utara menyatakan inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh pengetahuan peserta tentang teknologi terkini, malah menjadi platform strategik untuk mempersiapkan penjawat awam terutama di Negeri Perlis menghadapi cabaran era pendigitalan secara lebih efektif dan inklusif.
Inisiatif ini diharapkan menjadi model terbaik bagi negeri-negeri lain dalam mengangkat produktiviti sektor awam di Malaysia.
Beliau juga menyatakan bahawa MPC akan kekal komited untuk menyokong usaha transformasi digital di seluruh negara, selaras dengan matlamat meningkatkan daya saing dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan sektor awam dalam mendepani cabaran masa depan.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my