2025: Bersama Memacu Pertumbuhan Produktiviti dan Daya Saing Negara

 

Assalamualaikum dan Selamat Tahun Baharu 2025!

 

Tahun baharu membuka peluang untuk kita terus belajar, memperbaiki, dan mencipta masa depan yang lebih produktif dan cemerlang. Melalui usaha bersama, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) beriltizam untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing negara ke tahap lebih tinggi dengan lebih cepat dan berkesan.

 

Peniaga: Produktiviti sebagai Asas Kecemerlangan

Kami di MPC memahami cabaran dunia perniagaan yang semakin berkembang pesat dan berdaya saing. Tahun ini adalah peluang untuk:

•        Memantapkan produktiviti operasi perniagaan melalui peningkatan kualiti dan kecekapan.

•        Menggalakkan penerimagunaan teknologi seperti automasi, analitik data, dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkasa operasi.

•        Mendorong inovasi serta penciptaan  tambah yang tinggi melalui penyelidikan, penjenamaan, dan penerokaan pasaran baharu.

 

Dengan sokongan MPC, perniagaan di Malaysia mampu terus maju, mencipta nilai yang tinggi dan menjadikan Malaysia peneraju ekonomi serantau yang produktif.

 

Pekerja: Bersedia Menghadapi Masa Depan

Tahun 2025 membawa peluang besar untuk pembangunan tenaga kerja masa hadapan. Kami berazam untuk:

•        Melengkapkan pekerja dengan kemahiran terkini, terutamanya dalam bidang digitalisasi dan automasi, bagi meningkatkan produktiviti kerja.

•        Menggalakkan pembelajaran berterusan untuk memastikan daya saing individu kekal relevan dalam pasaran kerja.

•        Memupuk budaya pekerja sebagai agen perubahan yang mampu memperkasakan organisasi agar lebih berdaya tahan dan produktif.

 

Setiap inisiatif ini menyumbang kepada pertumbuhan produktiviti yang kukuh dan mampan.

 

Pembuat Dasar: Menyediakan Ekosistem Perniagaan Produktif

Pembuat dasar dan pengawal selia peraturan di semua peringkat kerajaan - persekutuan, negeri dan tempatan-  memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem perniagaan yang kondusif untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing negara. MPC akan bekerjasama dengan pembuat dasar dan pengawal selia peraturan untuk:

•        Menyediakan analisis berasaskan data untuk menyokong dasar-dasar yang memperkasa sektor perniagaan.

•        Memudahkan reformasi birokrasi, mengurangkan halangan, dan mempercepatkan pelaksanaan dasar yang mendorong produktiviti.

•        Memastikan dasar-dasar memberi impak positif terhadap produktiviti dan daya saing negara.

 

Dengan pendekatan ini, Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perdagangan yang produktif.

 

Tunjang Penyampaian Perkhidmatan MPC: Pasukan Nexus Produktiviti dan PEMUDAH

 

Kami akan terus memperkukuh peranan Pasukan Nexus Produktiviti sebagai penghubung antara industri dan kerajaan, untuk:

•        Menangani cabaran produktiviti di peringkat sektor dan firma.

•        Mempercepatkan penggunaan teknologi, inovasi, dan meningkatkan kemahiran pengurusan untuk mencipta hasil yang lebih produktif.

•        Memantau kemajuan inisiatif untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan program produktiviti.

 

Peranan PEMUDAH juga akan terus kami beri keutamaan sebagai pemangkin dalam memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta. Berlandaskan rangka kerja B-READY oleh Bank Dunia, PEMUDAH akan:

•        Menganalisis dan mengenalpasti peluang penambahbaikan kualiti peraturan bertulis serta kecekapan penguatkuasaan peraturan, dengan mengambil kira keperluan pihak berkepentingan dan impak ekonomi secara menyeluruh.

•        Melaksanakan reformasi untuk memudahkan urusan menjalankan perniagaan dengan mengurangkan karenah birokrasi.

 

Dengan usaha bersepadu ini, Malaysia mampu mengekalkan kedudukan sebagai negara yang produktif, mesra perniagaan dan berdaya saing di peringkat global, sejajar dengan aspirasi untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan perdagangan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.

 

Penghargaan kepada Warga MPC

Pencapaian 2024 tidak mungkin direalisasikan tanpa dedikasi dan usaha gigih seluruh warga MPC. Anda adalah tulang belakang kejayaan ini. Terima kasih atas segala usaha anda.

 

Pada tahun 2024, kita telah:

•        Memperkenalkan program inovatif untuk meningkatkan produktiviti sektor ekonomi utama.

•        Membantu ribuan pekerja, perniagaan dan organisasi merealisasikan potensi sebenar mereka.

•        Merealisasikan peranan MPC sebagai peneraju dalam mempercepatkan peningkatan produktiviti negara.

 

Tahun 2025 adalah peluang untuk kita mencapai lebih banyak kejayaan bersama.

 

Masa Depan Bermula Hari Ini

Kepada semua – peniaga, pekerja, pembuat dasar, dan Warga MPC – bersama kita mencipta masa depan yang lebih gemilang dan produktif. Dengan tindakan pantas dan berkesan, kita mampu membawa perubahan yang signifikan.

 

Mari kita mulakan tahun ini dengan penuh keyakinan, menjadikan Malaysia lebih produktif dan berdaya saing.

 

Tahun 2025 merupakan tahun yang penuh potensi untuk Malaysia melonjakkan produktiviti ke tahap yang lebih tinggi. Selain mempengerusikan ASEAN, ini adalah masa pecutan akhir untuk memastikan pelaksanaan penuh RMKe12, sekaligus membina asas kukuh menuju pencapaian yang lebih hebat dalam RMKe13.

 

Selamat Tahun Baharu 2025!

Bersama-sama, kita pacu pertumbuhan produktiviti demi menjadikan Malaysia lebih berdaya saing.

 

Salam Produktiviti,

 

Zahid Ismail

Ketua Pengarah

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Share by: