Kuala Lumpur, 31 Januari 2025 – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menganjurkan Persidangan Perkhidmatan 2025 bertemakan "Meningkatkan Sektor Perkhidmatan Malaysia Melalui Inovasi, Kepimpinan Serantau dan Pertumbuhan Mapan".
Persidangan ini menekankan kepentingan sektor perkhidmatan sebagai tunjang ekonomi negara, yang menyumbang 59.4% kepada KDNK pada tahun 2024.
Persidangan ini menghimpunkan pemegang kepentingan utama daripada kerajaan, industri, dan badan profesional bagi merangka strategi masa depan pembangunan sektor perkhidmatan Malaysia.
Ketika negara bersiap sedia untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam ekonomi ASEAN, sektor perkhidmatan kini berada di satu persimpangan kritikal.
Dengan Malaysia bakal memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, Persidangan SERV25 yang julung kali diadakan oleh MITI menjadi satu langkah strategik untuk melonjakkan daya saing sektor perkhidmatan negara, seiring dengan kekuatan sektor pembuatan yang sekian lama menjadi asas ekonomi.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah, turut dijemput menyampaikan ucaptama dalam persidangan ini.
Dalam pembentangannya, beliau mengupas analisis mendalam mengenai prestasi sektor perkhidmatan Malaysia berbanding Korea Selatan.
Statistik menunjukkan bahawa produktiviti sektor perkhidmatan Korea Selatan pada 2023 mencapai USD92,694 per pekerja, hampir 1.5 kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia yang mencatatkan USD59,750.
“Jurang ini jelas menunjukkan kepentingan transformasi digital, pembangunan modal insan dalam teknologi terkini seperti AI dan automasi, serta pelaburan strategik dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Malaysia perlu mempercepatkan usaha ini bagi meningkatkan daya saing global”, ujar Dr. Mazrina.
Menurut beliau, bagi memperkukuh momentum ini, beberapa inisiatif utama perlu dilaksanakan termasuk transformasi digital menyeluruh dalam sektor keutamaan seperti ICT, logistik, dan perkhidmatan profesional, pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam teknologi maju, kerjasama erat antara sektor awam dan swasta bagi memperkukuh ekosistem inovasi.
Persidangan ini turut menyeru sektor perkhidmatan swasta dan penggubal dasar untuk bekerjasama mempercepatkan transformasi produktiviti, sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada global.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Peningkatan Produktiviti, sila hubungi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my