Produktiviti Sebagai Pemacu Utama Kemakmuran Ekonomi Negara

21 November 2024, Petaling Jaya – Produktiviti terus menjadi tunjang kepada kemakmuran ekonomi Malaysia, dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.4% pada suku ketiga 2024.


Prestasi ini diterjemahkan kepada nilai tambah sebanyak RM25,077 bagi setiap pekerja, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 5.3%. Capaian ini mencerminkan keupayaan sektor swasta, yang menyumbang lebih 90% kepada keluaran ekonomi negara, sebagai pemacu utama pertumbuhan.


Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail, menegaskan bahawa peningkatan produktiviti adalah kunci kepada kemajuan ekonomi negara.


”Produktiviti yang lebih tinggi berupaya memperkukuhkan daya saing negara dengan menggandakan sumbangan sektor swasta kepada KDNK. Dengan kerjasama erat antara kerajaan dan sektor swasta, kita mampu membina ekosistem ekonomi yang inovatif dan mampan,” katanya.


”MPC telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik untuk mempertingkatkan kecekapan sektor swasta, termasuklah Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan penggalakan pelaburan dalam digitalisasi serta automasi.


Langkah ini bukan sahaja meningkatkan daya tahan perniagaan, malah turut membantu mengawal inflasi melalui penjimatan kos operasi. Akhirnya, ini memberi manfaat kepada rakyat dengan menawarkan produk pada harga lebih kompetitif, meningkatkan kuasa beli, dan menjana kesejahteraan ekonomi yang lebih mampan”.


Bagi menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, MPC menekankan perlunya pendekatan proaktif untuk memastikan produktiviti negara terus meningkat. Pelaburan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) perlu diberi keutamaan bagi mencipta penyelesaian inovatif yang boleh mempercepatkan transformasi ekonomi negara.


MPC turut menekankan peranan penting kerajaan sebagai rakan strategik sektor swasta.


“Kerajaan bukan sahaja berfungsi sebagai pemudah cara, tetapi juga sebagai pemangkin kepada usaha sektor swasta dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing”, tambah Zahid.


Sokongan ini adalah asas kepada pertumbuhan produktiviti mampan yang menjadi tunjang kepada kejayaan ekonomi jangka panjang.


Dengan pendekatan holistik dan kerjasama strategik antara Kerajaan, sektor swasta, dan rakyat, Malaysia berada di landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan ekonomi mampan.


Usaha bersama ini akan memperkukuh kedudukan negara sebagai sebuah ekonomi maju menjelang 2030, sambil memastikan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.


Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)


Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.


Untuk pertanyaan media:

Unit Pengurusan Media

media@mpc.gov.my

Share by: