11 November 2024
Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menganjurkan Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 dari 22 hingga 24 November di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Program ini bertujuan mempertingkat pemahaman rakyat terhadap usaha Kerajaan MADANI dalam mereformasi perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat. Bertemakan “MADANI di hati, rakyat disantuni,” acara ini memfokuskan kepada ketelusan dan mengukuhkan kepercayaan rakyat.
Selaras dengan aspirasi Perdana Menteri, kerajaan memperkenalkan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam yang berlandaskan lima teras utama untuk meningkatkan kecekapan dan integriti dalam perkhidmatan awam. Agenda ini mengutamakan nilai, tatakelola, pembangunan modal insan, pengukuhan organisasi, penyampaian perkhidmatan, dan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Pelbagai sesi wacana yang melibatkan pihak kerajaan, sektor swasta, akademik, dan NGO turut diadakan bagi mendapatkan maklum balas langsung dari industri serta penyelidikan akademik. Di samping itu, program ini memberi peluang kepada masyarakat, termasuk golongan belia, untuk terlibat dalam reformasi perkhidmatan awam.
Antara aktiviti yang akan berlangsung ialah sesi interaktif, pameran perkhidmatan, padanan perniagaan, jualan MADANI, pameran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya, dan pengurangan saman trafik. Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, pada 23 November 2024.
Orang awam dijemput menyertai program ini untuk memberikan maklum balas dan menikmati perkhidmatan serta aktiviti yang disediakan.
Sumber :
Siaran Media, Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi, Pejabat Perdana Menteri