PUTRAJAYA, 11 November 2024 – Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menganjurkan Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024.
Program ini dijadualkan berlangsung mulai 22 hingga 24 November 2024 (Jumaat hingga Ahad) bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.
Dengan tema “MADANI di hati, rakyat disantuni”, program ini bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat agar lebih memahami usaha-usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI, serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang telah diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat terbanyak.
Selain itu juga, ia bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat.
Melalui laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang telah diambil kerajaan, program ini menggalakkan ketelusan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my