Program 2 Tahun Kerajaan Madani dianjurkan pada 22 hingga 24 November ini

11 November 2024

Kuala Lumpur: Sempena dua tahun kerajaan Madani, Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 bakal dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai 22 hingga 24 November ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan program anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu kira-kira 11 pagi, 23 November.


Bertemakan, 'Madani di hati, rakyat disantuni', program itu bertujuan memberi ruang kepada rakyat supaya lebih memahami usaha dan inisiatif kerajaan serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat.


Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat.


Melalui laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang diambil kerajaan, program itu menggalakkan ketelusan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.


Menurut Sekretariat 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam, kerajaan sentiasa fokus untuk mengangkat martabat rakyat dan negara.


"Justeru, program 2TM ini dirangka khusus untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada rakyat, dengan menguar-uarkan pelbagai inisiatif serta dasar baharu kerajaan serta keberkesanan inisiatif Ekonomi Madani yang menyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial.


"Kerajaan sentiasa prihatin dengan setiap maklum balas yang diterima sepanjang program dan menjadikannya asas dalam menilai keberkesanan dasar kerajaan.


"Input daripada rakyat dapat memantapkan lagi penambahbaikan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyesuaikan langkah pembangunan agar lebih relevan dan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat," katanya.


Katanya, sepanjang penganjuran konvensyen, beberapa sesi wacana membabitkan wakil pihak kerajaan dan swasta termasuk ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan turut diadakan.


"Sesi ini wadah bagi pihak kerajaan untuk mendapatkan maklum balas secara terus berdasarkan maklum balas pemain industri serta data dari kajian akademik di lapangan.


"Konvensyen ini disasarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengunjung khususnya peserta yang terbabit dalam rantaian perkhidmatan kerajaan bagi melaksanakan reformasi yang memacu produktiviti ke arah perkhidmatan awam berprestasi tinggi.


"Dengan penganjuran konvensyen ini, komuniti NGO, ahli akademik dan pendidikan tinggi, peniaga dan orang awam khususnya golongan belia diberi ruang dan peluang terbabit secara langsung dalam usaha memperkukuh usaha reformasi perkhidmatan," katanya.


Menurutnya, pembabitan kementerian dan agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam berkongsi serta memetakan kisah kejayaan sepanjang dua tahun bersama kerajaan Madani.


"Pelbagai aktiviti akan diadakan untuk memastikan pembabitan aktif masyarakat dalam proses reformasi dan pembangunan negara seperti sesi interaktif bersama agensi kerajaan, reruai pameran yang menampilkan perkhidmatan terpilih serta padanan perniagaan.


"Aktiviti yang dirangka ini sebahagian daripada usaha memberi akses kepada rakyat untuk lebih memahami dan mengambil manfaat daripada inisiatif kerajaan.


"Selain itu juga, pelbagai aktiviti lain akan diadakan sepanjang tiga hari program ini termasuk jualan Madani, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya dan pengurangan saman trafik.


"Justeru, orang awam dijemput untuk mengambil bahagian serta memberi maklum balas terus kepada jentera kerajaan bagi tujuan penambahbaikan secara berterusan di samping memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti menarik yang disediakan sepanjang penganjuran program ini kelak," katanya.


Sumber: myMetro On-line, Lumi News Malaysia

Share by: