31 December 2024
KUALA LUMPUR: Birokrasi adalah asas kepada pentadbiran cekap dan penyampaian perkhidmatan berkualiti. Ia membolehkan untuk mencapai:
Namun, kerenah birokrasi tidak perlu seperti proses lambat dan peraturan tidak relevan dengan keperluan landskap semasa, seperti kemajuan teknologi, perubahan sosial dan keperluan perniagaan dinamik menjadi penghalang kepada pertumbuhan produktiviti dan daya saing Malaysia.
Malaysia kini berada pada kedudukan ke-36 dalam petunjuk birokrasi dalam laporan Daya Saing Dunia (WCR) 2024.
Sehubungan itu, Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dilaksanakan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk memperbaiki peraturan sedia ada bagi memastikan urus tadbir lebih cekap dan mengurangkan kerenah birokrasi terhadap rakyat serta komuniti perniagaan.
Langkah ini bertujuan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global dan mewujudkan persekitaran kawal selia kondusif bagi pertumbuhan ekonomi.
Penurunan kedudukan Malaysia dalam petunjuk birokrasi adalah isyarat jelas kerajaan perlu mengambil tindakan segera untuk memperbaiki peraturan sedia ada.
Sehubungan itu, program RKB dilaksanakan di bawah inisiatif Majlis Tindakan MADANI (MTMM) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai sebahagian daripada Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, program RKB diselia Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR).
Inisiatif RKB kendalian MPC bertujuan menyemak semula dan memperbaiki peraturan sedia ada bagi memastikan urus tadbir lebih cekap serta mengurangkan beban peraturan terhadap rakyat dan perniagaan.
RKB memberi kesan signifikan kepada produktiviti negara melalui impaknya terhadap perniagaan dan rakyat.
Bagi perniagaan, reformasi ini mengurangkan beban pentadbiran dan kos pematuhan, membolehkan syarikat memberi tumpuan kepada aktiviti utama seperti pengeluaran, inovasi dan pengembangan pasaran.
Menerusi kaedah mempercepat proses kelulusan, perniagaan dapat melaksanakan projek dengan lebih pantas, mengelakkan kelewatan merugikan.
RKB juga mencipta persekitaran kawal selia mesra inovasi, menyokong pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.
Bagi rakyat pula, RKB mempermudah akses kepada perkhidmatan kerajaan, menjimatkan masa dan kos biasa dibazirkan dalam proses rumit.
Perkhidmatan awam lebih cepat dan bertindak balas membolehkan individu menjalankan urusan harian dengan lebih lancar, meningkatkan kecekapan dalam kehidupan seharian mereka.
Dengan pengurangan kerenah birokrasi, rakyat dapat memberi tumpuan kepada aktiviti produktif, sama ada dalam pekerjaan mahupun kehidupan peribadi.
200 projek RKB dilaksana
Pada tahun ini, sebanyak 200 projek RKB dilaksanakan bagi menangani isu menghalang pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara.
Antara kejayaan awal memberi impak besar kepada industri seperti dibangkitkan Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai.
Perkara terbabit adalah proses kelulusan pergerakan barang bagi syarikat Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) mengambil masa lebih tiga hari kerana perlu dihantar secara manual ke kaunter.
Isu ini memberi kesan kepada syarikat eksport memerlukan kepantasan dan kecekapan tinggi dalam rantaian bekalan global. Melalui RKB, proses kelulusan kini dijalankan secara digital dan hanya mengambil masa satu minit, menjimatkan RM210 juta setahun dalam kos pematuhan.
Mengenai kejayaan ini, Siew Hai berkata, inisiatif itu bukan sahaja menjimatkan kos tetapi meningkatkan keupayaan syarikat Malaysia untuk bersaing di peringkat global."
Kedua, dalam industri kimia, penentu ukuran geganti pelindung terlalu kerap menyebabkan gangguan operasi, termasuk penutupan sementara sistem atau peralatan bagi tujuan pemeriksaan serta pengujian geganti.
Kos kerugian dianggarkan mencecah RM120 juta sebulan ketika tempoh penutupan.
Melalui RKB, tempoh penentu ukuran kini dilanjutkan daripada satu kepada dua tahun untuk geganti dan peranti pelindung elektro mekanikal serta dua kepada empat tahun untuk geganti dan peranti pelindung statik serta numerikal.
Penambahbaikan ini akan dapat mengurangkan gangguan terhadap operasi tanpa menjejaskan aspek keselamatan.
"Penambahbaikan ini mengimbangi keperluan keselamatan dan produktiviti, memberi manfaat besar kepada ekonomi negara," kata beliau.
Melangkah ke 2025, RKB akan diperluaskan dengan pelaksanaan 500 projek baharu di seluruh negara.
Keutamaan termasuk kerjasama dengan kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk memastikan manfaat reformasi dirasai di semua lapisan masyarakat, serta penyertaan aktif perniagaan dan rakyat.
KSN bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dari seluruh negara semasa Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, menandakan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam melaksanakan reformasi untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia.
Dengan RKB, Malaysia berpeluang meningkatkan daya saingnya di peringkat global, memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan kehidupan lebih baik untuk rakyat.
Rakyat dan perniagaan dijemput menjadi sebahagian daripada perubahan ini, bersama-sama merealisasikan masa depan Malaysia lebih produktif dan progresif.
Source: Berita Harian Online, Lumi News Malaysia