Sambutan ulang tahun kedua Kerajaan MADANI 22-24 November

11 November 2024

KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menganjurkan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pada 22 hingga 24 November ini.



Program diadakan bertujuan memberi ruang kepada rakyat agar lebih memahami usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI, serta langkah reformasi perkhidmatan awam yang diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat.


Sekretariat 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 dalam kenyataan berkata, progam itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat.


Katanya, melalui laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang diambil kerajaan, program ini menggalakkan ketelusan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.


"Kerajaan sentiasa fokus untuk mengangkat martabat rakyat dan negara. Justeru, program 2TM ini dirangka khusus untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada rakyat, dengan menguar-uarkan pelbagai inisiatif, dasar baharu kerajaan, serta keberkesanan inisiatif ekonomi MADANI yangmenyumbang kepada kemakmuran ekonomi dan sosial.


"Kerajaan sentiasa prihatin dengan setiap maklum balas yang diterima sepanjang program dan menjadikannya asas dalam menilai keberkesanan dasar kerajaan," kata Sekretariat itu dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut kenyataan itu, input daripada rakyat dapat memantapkan lagi penambahbaikan pelaksanaan dasar kerajaan dan menyesuaikan langkah-langkah pembangunan agar lebih relevan dan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.


Beberapa sesi wacana membabitkan wakil pihak kerajaan dan swasta termasuk ahli akademik serta badan bukan kerajaan (NGO) akan turut diadakan.

Sesi ini adalah wadah bagi pihak kerajaan untuk mendapatkan maklum balas secara terus berdasarkan respon pemain industri serta data dari kajian akademik di lapangan.


Konvensyen ini disasarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengunjung khususnya peserta yang terbabit dalam rantaian perkhidmatan kerajaan bagi melaksanakan reformasi yang memacu produktiviti ke arah perkhidmatan awam berprestasi tinggi.


Dengan penganjuran konvensyen ini, komuniti NGO, ahli akademik dan pendidikan tinggi, peniaga dan orang awam khususnya golongan belia diberi ruang dan peluang untuk terbabit secara langsung dalam usaha memperkukuh usaha reformasi perkhidmatan.


Pembabitan kementerian dan agensi kerajaan memainkan peranan penting dalam berkongsi serta memetakan kisah kejayaan sepanjang dua tahun bersama Kerajaan MADANI.


Pelbagai aktiviti akan diadakan untuk memastikan pembabitan aktif masyarakat dalam proses reformasi dan pembangunan negara seperti sesi interaktif bersama agensi kerajaan, reruai pameran yang menampilkan perkhidmatan terpilih serta padanan perniagaan (business matching).


Aktiviti yang dirangka ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberi akses kepada rakyat untuk lebih memahami dan mengambil manfaat daripada inisiatif kerajaan.


Selain itu juga, pelbagai aktiviti lain akan diadakan sepanjang tiga hari program ini termasuk jualan MADANI, pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), karnival kerjaya, dan pengurangan saman trafik.


Majlis perasmian Program 2TM dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 23 November jam 11 pagi.


Justeru, orang awam dijemput untuk mengambil bahagian serta memberi maklum balas terus kepada jentera kerajaan bagi tujuan penambahbaikan secara berterusan, di samping memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta aktiviti menarik yang disediakan sepanjang penganjuran program ini kelak.


Sumber: Berita Harian Online, Lumi News Malaysia, makkalosai.com.my, Sabah News, malaysia.shafaqna.com

Share by: