Kulim, 7 Disember 2024 – Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) melakar sejarah baharu apabila inisiatif inovatif mereka, E10, mendapat pengiktirafan tinggi daripada Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) semasa lawatan rasmi beliau hari ini.
Inisiatif ini, yang merupakan kerjasama strategik antara MPKK, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dan pelbagai agensi teknikal persekutuan dan negeri, telah berjaya mempercepatkan proses permohonan permit pembinaan dan sekaligus mempercepatkan tempoh pembinaan kilang sehingga kilang beroperasi sepenuhnya hanya dalam tempoh 10 bulan atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh pelabur berbanding lebih 24 bulan sebelum pelaksanaan E10.
Kejayaan E10 telah memberi impak besar terhadap pembangunan ekonomi negara dan berjaya menarik lebih banyak pelaburan dalam dan luar negara.
MPKK telah menggunakan pendekatan ”whole-of-government approach” dengan bekerjasama dan penglibatan pelbagai agensi kerajaan untuk menangani isu dan menyediakan penyelesaian.
MPKK turut menggunakan pendekatan peraturan tangkas (Agile Regulation) dan Behavioural Insights (BI) yang diperkenalkan oleh MPC.
MPKK turut melaksanakan pra-rundingan yang bertujuan untuk meningkatkan fasilitasi dalam proses perancangan projek, disamping melihat keperluan khusus (customisation) bagi memastikan semua pihak berkepentingan terlibat secara efektif dan mendapatkan hasil yang optimum.
Inisiatif ini adalah langkah proaktif MPKK dalam mewujudkan ekosistem mesra pelabur.
Transformasi melalui digitalisasi dan teknologi pintar dimulakan oleh MPKK dengan pelaksanaan inisiatif E10 pada tahun 2020.
Kini, MPKK terus maju dengan memperkenalkan E10 Plus yang akan dilancarkan pada tahun 2025.
Inisiatif baharu ini mengintegrasikan teknologi Data Geospatial menerusi Kulim Integrated Database System (KIDs) dan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan data pentadbiran.
Inovasi ini bukan sahaja memastikan akses yang pantas tetapi juga pengurusan data spatial yang lebih cekap, menjadikan MPKK sebagai peneraju transformasi digital dalam perkhidmatan awam.
Tan Sri KSN, dalam ucapan penghargaan beliau, memuji langkah proaktif MPKK dalam memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan pentadbiran. "MPKK telah membuktikan bahawa transformasi digital bukan hanya meningkatkan kecekapan tetapi juga menghasilkan impak ekonomi yang besar, termasuk peningkatan produktiviti dan pendapatan bagi pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta. Saya berharap inisiatif seperti ini dapat diperluaskan ke seluruh negara," katanya.
Dalam sesi lawatan ini, Tan Sri KSN menyatakan hasrat untuk melihat kejayaan Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) yang lebih banyak di masa hadapan.
Beliau menekankan bahawa kejayaan E10 harus dijadikan inspirasi bagi pihak berkuasa tempatan lain.
Dedikasi dan komitmen MPKK terhadap inovasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) telah secara signifikan meningkatkan standard pengurusan projek perbandaran.
Semasa lawatan ini juga Tan Sri KSN turut merasmikan Kulim Intelligent Command Center (KICC).
MPKK telah menunjukkan bagaimana penerapan teknologi AI dapat mempercepatkan proses dan kecekapan dalam pengurusan bandar.
Dengan fokus pada inovasi dan teknologi terkini MPKK berupaya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan awam bagi mempercepatkan proses kelulusan, sekaligus meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
Mengenai Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). MPC bertanggungjawab melonjakkan produktiviti secara holistik di peringkat nasional, sektoral dan juga perusahaan berpandukan 3 teras strategi yang terdiri daripada memudahkan urusan perniagaan, penerimagunaan teknologi dan bakat masa hadapan. MPC bekerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk memacu produktiviti bagi meningkatkan daya saing negara ke arah kesejahteraan dan kemakmuran.
Untuk pertanyaan media:
Unit Pengurusan Media
media@mpc.gov.my