11 November 2024
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS), melalui Pusat Jaminan Kualiti (CQA) menganjurkan Konvensyen Kumpulan Penggerak Inovasi (KKPI) 2024 baru-baru ini sebagai usaha menggalakkan budaya inovatif dan kreatif atau KREANOVA dalam kalangan pegawai pentadbiran dan pelaksana universiti.
Pengarah CQA, Prof. Dr. Zainal Zakaria berkata, konvensyen itu selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
Katanya, konvensyen dua hari itu menarik penyertaan sebanyak 36 kumpulan dari pelbagai jabatan, fakulti, pusat, institut, dan bahagian di UMS.
Menurutnya, antara kategori yang dipertandingkan ialah Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (HB KIK), Pengurusan Lean (Lean Management), serta Poster Projek Inovasi (A3 Projek).
Beliau berkata, usaha membudayakan inovasi dalam kalangan pegawai amat penting untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan universiti.
"Para pegawai pentadbiran dan pelaksana adalah tulang belakang organisasi, justeru inisiatif seperti ini sangat penting untuk merangsang pemikiran inovatif yang mampu membawa kesan besar kepada mutu penyampaian perkhidmatan di UMS.
"Dapat dilihat inisiatif inovasi ini memberi impak positif terhadap penjimatan kos dan kecekapan pengurusan UMS.
"Data menunjukkan 36 projek inovasi yang dipertandingkan telah menyumbang kepada penjimatan kos operasi universiti sebanyak RM58,230.60 atau purata RM4,479.20 setiap projek, selain bilangan aduan yang diterima juga menurun dari 1,819 kepada 383, membuktikan peningkatan kecekapan yang dicapai," katanya dalam ucapannya sempena konvensyen itu.
Beliau turut berharap agar kejayaan melalui projek KREANOVA ini dapat memberi manfaat lebih luas kepada komuniti UMS dan organisasi lain.
"Harapan agar projek yang dihasilkan dalam konvensyen ini tidak hanya meningkatkan kualiti perkhidmatan jabatan masing-masing tetapi juga dapat dikongsi bersama seluruh komuniti UMS dan organisasi luar.
"Semoga budaya inovasi ini menjadi inspirasi kepada warga UMS secara keseluruhan," katanya.
Pada konvensyen itu, Kumpulan Titans dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) mengungguli kategori HB KIK apabila meraih juara dengan projek 'Smart Kit Cycle'.
Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Syzygium Tech dari Fakulti Pertanian Lestari (FPL) dengan projek Alat Mencabut Ubi Kayu, manakala kumpulan ServIQ dari Pusat Pentaran Ilmu dan Bahasa (PPIB) memenangi tempat ketiga melalui projek E-Kaunter: Fleksi dan Mudah.
Dalam kategori Pengurusan Lean, kumpulan i-Xam dari Bahagian Perkhidmatan Akademik (BPA) dinobatkan sebagai juara dengan projek Pengisian Maklumat Peperiksaan Akhir Secara Dalam Talian.
Kumpulan ProFit dari FSSA dan kumpulan Fteam dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga melalui projek Preparation of Meetings (ProMeets) dan Tempahan Penginapan Hotel Secara Dalam Talian.
Kategori Poster Projek Inovasi (A3 Poster) menyaksikan kemenangan kumpulan Syzygium Tech dari FPL, diikuti kumpulan CAED Smart Tech dari Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) di tempat kedua dan kumpulan i-Star dari BPA di tempat ketiga.
Sumber: Utusan Borneo Sabah